MSF ikrar teruskan operasi di Gaza selagi mampu

Foto AFP

AMMAN, 20 Februari – Organisasi perubatan kemanusiaan antarabangsa, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) berikrar akan terus beroperasi di Gaza selagi mampu, susulan keputusan Israel untuk menamatkan aktivitinya di wilayah terbabit.

RINGKASAN BERITA AI
  • MSF berikrar terus beroperasi di Gaza selama mampu walaupun dihalang oleh keputusan Israel.
  • Operasi MSF kini menghadapi pelbagai cabaran termasuk larangan membawa masuk kakitangan antarabangsa.
  • Keupayaan membawa masuk bekalan perubatan terjejas, namun stok sedia ada di farmasi membolehkan operasi diteruskan.
  • Sekatan Israel terhadap trak dan kekurangan bahan api, makanan serta air bersih menambah tekanan terhadap bantuan kemanusiaan.

“Buat masa ini, kami masih bekerja di Gaza dan kami merancang untuk meneruskan operasi selagi mampu,” kata Ketua Misi MSF di Palestin, Filipe Ribeiro.

Beliau mengakui operasi MSF di Gaza ketika ini berdepan pelbagai cabaran.

Pada awal Februari, Israel mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan semua aktiviti MSF di Gaza berkuat kuasa pada 1 Mac, selepas badan kebajikan itu gagal mengemukakan senarai kakitangannya dari Palestin.

MSF mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu “alasan” untuk menghalang bantuan.

“Kami tidak dapat membawa masuk kakitangan antarabangsa ke Gaza sejak awal Januari.

“Pihak berkuasa Israel menolak sebarang kemasukan ke Gaza, malah juga ke Tebing Barat,” katanya.

Ribeiro turut menambah bahawa keupayaan MSF untuk membawa masuk bekalan perubatan ke Gaza juga telah terjejas.

“Buat masa ini, bekalan perubatan tidak dibenarkan masuk, tetapi kami mempunyai beberapa stok di farmasi yang akan membolehkan kami terus menjalankan operasi,” katanya.

Kekurangan bekalan seperti bahan api dan makanan termasuk ubat-ubatan dan air bersih telah menjadi isu berterusan di Gaza sejak permulaan serangan rejim Zionis.

Sehingga kini, Israel masih mengenakan sekatan ke atas semua trak yang memasuki wilayah terkepung itu. – AFP