Minat terhadap kereta elektrik di Thailand meningkat

Pameran Motor Antarabangsa Bangkok/ REUTERS

BANGKOK, 26 Mac – Pameran Motor Antarabangsa Bangkok di sini menyaksikan lonjakan minat yang tinggi terhadap jenama kereta elektrik (EV) antarabangsa, berikutan konflik di Asia Barat yang terus mendorong kenaikan kos tenaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ratusan pengguna mula mempertimbangkan kenderaan elektrik selepas mengalami kesukaran dan barisan panjang di stesen minyak.
  • Sesetengah pengunjung berkata krisis bahan api mendorong mereka beralih dari kereta enjin bahan api kepada EV.
  • Kenaikan mendadak harga bahan api dilihat sangat membebankan dan dikritik kerana kerajaan gagal menangani krisis.
  • Beberapa pengeluar menerima pertanyaan mengenai tempoh penghantaran, manakala kerajaan mempertimbangkan pengurangan cukai minyak segera.

Ratusan pengguna menunjukkan minat terhadap kenderaan EV di pameran itu, selepas menyaksikan kesukaran dan barisan panjang di stesen minyak tempatan di seluruh negara.

Salah seorang pengunjung Panupong Kunlachotpanit, 31 tahun berkata, sebelum ini hanya menggunakan kereta enjin bahan api di rumah dan menyukai bunyi enjin serta ekzos, tetapi krisis semasa mendorong beliau untuk melihat kereta elektrik.

“Saya tidak pernah terfikir untuk beralih kepada enjin (EV) sehingga krisis ini berlaku. Nampaknya harga bahan api yang melambung dan perang ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan menurun dalam masa terdekat, jadi saya datang untuk melihat kereta elektrik,” katanya.

Sementara itu, Athichai Benjapolrungroj, 37 tahun, menegaskan kenaikan mendadak harga bahan api sangat membebankan.

“Krisis ini sangat teruk. Harga bahan api naik enam baht (AS$0.18) hari ini. Biasanya ia naik satu hingga dua baht secara berperingkat. Kenaikan mendadak ini tidak dapat diterima dan sangat merugikan. Kerajaan nampaknya tidak menangani krisis ini pada tahap yang betul,” ujarnya.

Beberapa pengeluar EV antarabangsa menerima pelbagai pertanyaan mengenai tempoh penghantaran kenderaan semasa pameran itu.

Harga diesel di Thailand meningkat kepada 38.94 baht (AS$1.19) setiap liter pada Khamis selepas subsidi kerajaan ditamatkan, berbanding 29.94 baht (AS$0.91) setiap liter pada Februari sebelum konflik di Asia Barat meletus.

Thailand akan mempertimbangkan pengurangan cukai minyak bagi membantu meringankan kesan kenaikan harga tenaga akibat perang di Asia Barat, kata seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan pada Khamis.

Mengurangkan cukai eksais minyak akan menurunkan harga runcit, kata pegawai kementerian, Lavaron Sangsnit, sambil menambah bahawa langkah itu boleh dilaksanakan dengan segera sekiranya diluluskan Jawatankuasa Pilihan Raya.- REUTERS