UNSC mengundi resolusi benarkan tentera lindungi Selat Hormuz

Pengundian dijadualkan berlangsung pada Selasa

NEW YORK, 7 April – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dijadual mengundi pada Selasa mengenai resolusi yang akan memberikan mandat jelas kepada mana-mana negara yang ingin menggunakan tentera untuk membuka semula Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bahrain mengemukakan draf resolusi disokong negara pengeksport minyak lain di rantau Teluk.
  • Beberapa anggota tetap membantah menggunakan kuasa veto, menyebabkan teks dipinda dan sesi undian ditangguhkan.
  • Draf menuntut Iran menghentikan serangan terhadap kapal komersial dan mengakhiri cubaan menghalang kebebasan pelayaran Selat Hormuz.
  • Ia menggalakkan penyelarasan tindakan defensif, termasuk mengiringi kapal dagang, serta mempertimbangkan langkah lanjut terhadap perosak pelayaran.

Draf resolusi tersebut dikemukakan oleh Bahrain dengan sokongan negara-negara pengeksport minyak lain di rantau Teluk, selepas rundingan dimulakan dua minggu lalu.

Namun begitu, ia menerima bantahan daripada beberapa anggota tetap yang mempunyai kuasa veto menyebabkan teks tersebut dipinda, serta sesi undian ditangguhkan beberapa kali daripada tarikh asal yang dijadualkan pada hujung minggu lalu.

Draf terkini yang dilihat agensi berita AFP masih menuntut Iran menghentikan serangan terhadap kapal komersial serta mengakhiri sebarang cubaan untuk menghalang laluan transit atau kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.

Ia turut menggalakkan negara-negara untuk menyelaraskan usaha bersifat defensif yang bersesuaian dengan keadaan bagi membantu memastikan keselamatan pelayaran, termasuk mengiringi kapal dagang dan komersial.

Draf tersebut juga menyatakan kesediaan badan dunia itu untuk mempertimbang langkah lanjut terhadap sesiapa yang menjejaskan kebebasan pelayaran di selat berkenaan.

Pengundian dijadualkan berlangsung pada Selasa pukul 11:00 pagi, sembilan jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Presiden Donald Trump untuk Iran bersetuju dengan satu perjanjian atau berdepan serangan terhadap loji tenaga dan jambatannya. -AFP