Lubnan buka semula pintu sempadan Masnaa dengan Syria

FOTO REUTERS

BEIRUT, 9 April — Lubnan mengumumkan pembukaan semula pintu sempadan Masnaa yang menghubungkan negara itu dengan Syria bermula petang Rabu, lapor media kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah keselamatan ketat dan peralatan mengekang penyeludupan dilaksanakan bagi menjamin keselamatan trafik penumpang dan kargo.
  • Usaha intensif Lubnan dan Syria memastikan lintasan tidak menjadi sasaran serangan.
  • Lintasan Masnaa merupakan pintu masuk utama antara Lubnan dan Syria serta laluan perdagangan penting rantau.

Sempadan berkenaan ditutup selama beberapa hari susulan ancaman Israel untuk membedil kawasan berkenaan.

“Lintasan Masnaa akan dibuka semula mulai jam 6 petang (Waktu Tempatan) hari ini, dengan langkah-langkah ketat dilaksanakan bagi menjamin keselamatan trafik penumpang dan kargo, selain dilengkapi peralatan diperlukan bagi mengekang sebarang operasi penyeludupan,” lapor Agensi Berita Nasional (NNA).

Terdahulu, sumber kerajaan Lubnan memaklumkan kepada AFP bahawa “usaha intensif telah dilakukan oleh kedua-dua pihak, Lubnan dan Syria, bagi memastikan lintasan itu tidak menjadi sasaran serangan Israel.”

Sabtu lalu, Israel mengancam untuk menyerang pintu sempadan itu dengan menuduh kumpulan Hizbullah menggunakannya bagi “tujuan ketenteraan dan penyeludupan peralatan tempur”, namun serangan berkenaan tidak berlaku.

Pintu sempadan itu sebelum ini ditutup di kedua-dua belah pihak sebagai langkah berjaga-jaga selepas proses pemindahan dilakukan.

Lintasan Masnaa merupakan pintu masuk utama antara Lubnan dan Syria, menjadikannya laluan perdagangan yang sangat penting bagi kedua-dua negara serta hubungan darat utama Lubnan ke seluruh rantau tersebut.

Keputusan untuk membuka semula pintu sempadan itu dibuat ketika Israel meneruskan siri serangannya ke atas Lubnan pada Rabu, meskipun menyatakan sokongan terhadap gencatan senjata dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat. -AFP