
TOKYO, 6 Februari – Jepun dijangka menghidupkan semula loji tenaga nuklear terbesar dunia minggu depan selepas usaha memulakan semula operasinya digantung berikutan gangguan teknikal pada sistem penggera, yang merupakan cubaan pertama sejak bencana Fukushima pada 2011.
- TEPCO merancang memulakan semula satu reaktor di Kashiwazaki-Kariwa pada 9 Februari.
- Operasi komersial penuh dijangka bermula pada atau selepas 18 Mac selepas pemeriksaan menyeluruh.
- Gangguan sistem penggera dikesan, sudah diubah konfigurasi dan TEPCO menegaskan reaktor selamat.
- Penduduk tempatan berbelah bahagi; kira-kira 60% menentang pengoperasian semula loji.
Ketua loji nuklear Kashiwazaki-Kariwa yang dikendalikan Tokyo Electric Power (TEPCO), Takeyuki Inagaki berkata pihaknya merancang untuk memulakan operasi reaktor itu pada 9 Februari ini.
Manakala operasi komersial penuh akan dimulakan pada atau selepas 18 Mac depan selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan.
Menurut beliau, gangguan sebelum ini berlaku selepas tetapan sistem penggera mengesan perubahan kecil pada arus elektrik salah satu kabel, namun tidak menjejaskan keselamatan operasi loji berkenaan.
TEPCO kini telah mengubah konfigurasi penggera dan menegaskan reaktor selamat untuk beroperasi.
Percubaan untuk menghidupkan semula reaktor di loji yang terletak di wilayah Niigata itu sebelum ini digantung hanya beberapa jam selepas proses dimulakan bulan lalu.
Kashiwazaki-Kariwa, loji nuklear terbesar dunia dari segi kapasiti, mempunyai tujuh reactor, namun hanya satu reactor akan dimulakan semula.
Loji berkenaan tidak beroperasi sejak Jepun menutup semua loji nuklear susulan gempa bumi dan tsunami besar pada 2011 yang mencetuskan krisis kebocoran radiasi di loji nuklear Fukushima.
Jepun, negara yang kekurangan sumber tenaga, mahu menghidupkan semula tenaga nuklear untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, mencapai neutral karbon menjelang 2050 dan menampung keperluan tenaga meningkat akibat pembangunan kecerdasan buatan.
Bagaimanapun, menurut tinjauan Niigata pada September lalu, penduduk sekitar loji terbabit berbelah bahagi dengan kira-kira 60 peratus menentang pengoperasian semula loji berkenaan, manakala 37 peratus menyokong. -AFP