
TRIPOLI, 9 Februari – Angka korban akibat runtuhan sebuah bangunan di bandar Tripoli, utara Lubnan, meningkat kepada lima orang namun usaha pencarian masih dilakukan.
- Lima mangsa ditemukan maut dalam runtuhan sebuah bangunan lama di kawasan Bab al-Tabbaneh, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita warga emas.
- Usaha mencari dan menyelamat masih berjalan; lapan individu berjaya diselamatkan dan bangunan bersebelahan dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
- Lubnan menghadapi masalah bangunan usang dan pembinaan haram, diperburuk krisis ekonomi, menuntut penilaian keselamatan bangunan segera.
Agensi berita kerajaan, National News Agency melaporkan runtuhan itu melibatkan sebuah bangunan lama di kawasan Bab al-Tabbaneh, iaitu kawasan termiskin di bandar tersebut.
Pihak keselamatan turut mengosongkan bangunan bersebelahan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kebimbangan berlaku runtuhan susulan.
Menurut laporan itu, setakat ini lapan individu berjaya diselamatkan, manakala lima mangsa ditemukan meninggal dunia, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita warga emas.
Ketua Pertahanan Awam, Imad Khreish berkata kepada media tempatan bahawa bangunan tersebut terdiri daripada dua blok, masing-masing memiliki enam unit pangsapuri.
Rakaman media tempatan menunjukkan penduduk bersama anggota penyelamat berusaha mengalihkan runtuhan menggunakan peralatan asas dan tangan kosong.
Kejadian itu merupakan kejadian kedua yang berlaku di kawasan tersebut. Pada Januari sebuah bangunan di Tripoli juga runtuh hinggi meragut nyawa.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun mengarahkan semua agensi kecemasan digerakkan bagi membantu operasi menyelamat serta menyediakan tempat perlindungan kepada penduduk bangunan terlibat dan kawasan sekitarnya yang diarahkan berpindah sebagai langkah pencegahan.
Lubnan berdepan masalah bangunan usang yang meluas, dengan banyak struktur kediaman berada dalam keadaan rosak teruk. Sebahagian besar bangunan dibina secara haram, khususnya semasa perang saudara Lubnan dari 1975 hingga 1990, selain terdapat pemilik yang menambah tingkat baharu tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Pada 2024, Amnesty International melaporkan bahawa ribuan penduduk masih tinggal di bangunan tidak selamat di Tripoli, lebih setahun selepas struktur tersebut terjejas akibat gempa bumi besar yang berpusat di Türkiye dan Syria pada Februari 2023.
Menurut pertubuhan hak asasi itu, penduduk Tripoli telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan perumahan yang daif akibat pengabaian selama beberapa dekad serta kegagalan kontraktor mematuhi peraturan keselamatan.
Situasi itu diburukkan lagi dengan krisis ekonomi berpanjangan di Lubnan yang menyebabkan ramai penduduk tidak mampu melakukan pembaikan atau mendapatkan kediaman alternatif, sekali gus mendorong pihak berkuasa agar segera menilai tahap keselamatan bangunan di seluruh negara.- AFP