Letupan arang batu Colombia: Dua mayat ditemukan, empat masih hilang

Pasukan penyelamat mengusung mayat salah seorang daripada enam pelombong yang terperangkap selepas letupan di sebuah lombong arang batu di Guacheta / AFP

GUACHETÁ , 7 Februari – Pasukan penyelamat Colombia menemukan lagi dua mayat pekerja lombong yang maut dalam letupan sebuah lombong arang batu haram dalam usaha mencari empat lagi mangsa yang dipercayai turut terkorban.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua mayat pelombong ditemui, empat lagi masih hilang dan dipercayai meninggal dunia akibat kekurangan oksigen.
  • Usaha menyelamat diteruskan dengan peralatan pengudaraan untuk kurangkan pengumpulan gas metana berbahaya.
  • Lombong diarah tutup tetapi terus beroperasi tanpa permit; insiden menyerlahkan risiko lombong haram.

Letupan yang berlaku pada Khamis, menyebabkan enam orang terperangkap di Guacheta, di wilayah Cundinamarca, di sini.

Usaha menyelamat diteruskan sepanjang petang dengan pasukan penyelamat menggunakan peralatan pengudaraan bagi mengurangkan pengumpulan gas di dalam terowong lombong.

Tahap gas metana yang tinggi sebelum ini menyukarkan usaha menyelamat.

Pegawai bomba, Alveiro Aguillon, berkata pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam dalam usaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Di luar lombong yang terletak di kawasan hutan pain, ahli keluarga pelombong menunggu dengan penuh kebimbangan ketika operasi menyelamat diteruskan.

Beberapa pelombong lain kelihatan terkejut dan trauma akibat kejadian yang melibatkan rakan sekerja mereka.

Seorang pelombong, Duvan Cardenas, 24, berkata insiden itu membuatkan beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan pekerjaan sebagai pelombong. “Mulai esok, saya tidak akan bekerja dalam bidang perlombongan lagi. Saya telah membuat keputusan untuk berhenti dan menceburi profesion lain,” katanya kepada AFP.

Gabenor Cundinamarca, Jorge Emilio Rey, sebelum ini memaklumkan kepada Radio Blu bahawa empat pelombong yang masih hilang dipercayai meninggal dunia akibat kekurangan oksigen.

Dalam kemas kini di media sosial, beliau mengesahkan penemuan dua mayat daripada enam pelombong yang terperangkap.

Menurut Rey, lombong berkenaan telah menerima arahan penutupan daripada pihak berkuasa, namun masih beroperasi tanpa permit yang sah.

Kemalangan perlombongan di Colombia kerap berlaku dan sering meragut nyawa, khususnya melibatkan lombong haram atau perlombongan secara kecil-kecilan. – AFP