Lelaki Maut Ditembak: Gabenor Minnesota desak henti operasi ICE

Ejen persekutuan berdiri di sisi pita polis ketika penunjuk perasaan berkumpul di lokasi di mana seorang lelaki ditembak mati oleh dalam operasi di Minneapolis, Minnesota/Foto AFP

MINNEAPOLIS, 25 Januari – Gabenor Minnesota, Tim Walz menuntut Presiden Amerika Syarikat, Donaldo Trump segera menghentikan operasi Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) susulan kematian seorang lelaki di Minneapolis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabenor Minnesota Tim Walz desak Presiden Trump hentikan operasi ICE segera selepas insiden tembakan maut di Minneapolis.
  • Walz mahu tarik balik ribuan pegawai ICE yang dianggap ganas dan tidak terlatih dari negeri itu sekarang.
  • Jabatan Keselamatan Dalam Negeri sahkan mangsa bersenjata; siasatan lanjut sedang dijalankan untuk tentukan keadaan sebenar.

Walz menerusi hantaran di platform media sosial X berkata, beliau telah berhubung dengan White House susulan insiden tembakan terbaharu itu dan menyifatkannya sebagai satu kejadian yang mengejutkan.

“Ia tidak boleh diterima. Presiden (Trump) mesti menamatkan operasi ini. Tarik keluar ribuan pegawai yang ganas dan tidak terlatih dari Minnesota sekarang,” tegasnya.

Sementara itu, Senator Minnesota, Amy Klobuchar turut meluahkan kebimbangan berhubung insiden berkenaan dan menggesa anggota ICE dikeluarkan dari negeri itu.

Dalam pada itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) memaklumkan, lelaki berkenaan yang identitinya belum didedahkan, didapati bersenjata dengan sepucuk pistol serta dua magazin peluru ketika kejadian berlaku.

Rakaman video yang tular di media sosial dan disiarkan oleh beberapa stesen televisyen menunjukkan beberapa individu berpakaian bertopeng dan jaket taktikal bergelut dengan lelaki itu di atas jalan.

Dalam rakaman tersebut, beberapa das tembakan kedengaran sebelum lelaki berkenaan rebah ke tanah, diikuti dengan bunyi tembakan tambahan.

Pihak berkuasa memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian. – REUTERS