
BANGKOK, 10 Februari – Mahkamah Thailand melanjutkan hukuman penjara seorang lelaki yang disabitkan kesalahan kerana mengkritik raja negara itu kepada 50 tahun.
- Mahkamah Thailand menambah hukuman penjara Phuritikon Sarakul kepada 50 tahun bagi kesalahan menghina raja.
- Undang-undang lèse-majesté membenarkan hukuman sehingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan.
- TLHR menyatakan undang-undang sering digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat dan lawan politik.
- Sejak 2020, sekurang-kurangnya 289 orang didakwa di bawah undang-undang berkenaan.
Kumpulan Hak Asasi Undang-Undang, Thai Lawyers for Human Rights (TLHR) menyifatkan hukuman itu antara tempoh paling lama pernah dikenakan di bawah undang-undang ketat penghinaan diraja.
Katanya, undang-undang lèse-majesté Thailand dikuatkuasakan untuk melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarganya daripada kritikan dengan hukuman maksimum sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan.
TLHR dalam kenyataan memaklumkan, Mahkamah Jenayah menjatuhkan hukuman 30 tahun ke atas Phuritikon Sarakul di bawah undang-undang terbabit.
Ia berhubung hantaran yang dibuat dalam akaun media sosialnya antara 2021 hingga 2022.
Pada Disember lalu, lelaki berusia 43 tahun yang tinggal di luar Thailand itu dijatuhi hukuman penjara 20 tahun secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh) bagi kesalahan sama berhubung hantaran berasingan.
Dengan gabungan hukuman berjumlah lima dekad di penjara, bermakna pesalah telah menerima antara hukuman paling keras di bawah Seksyen 112 dalam sejarah, kata TLHR, merujuk undang-undang itu mengikut peruntukannya dalam kanun keseksaan.
Menurut TLHR, undang-undang lèse-majesté sejak sekian lama digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat dan membungkam lawan politik.
Sekurang-kurangnya 289 orang telah didakwa di bawah undang-undang berkenaan sejak 2020.
Pada 2024, seorang peniaga pakaian dijatuhi hukuman penjara 50 tahun kerana menghina institusi diraja melalui hantaran di akaun Facebook peribadinya.
Tahun lalu, seorang bekas penjawat awam yang dijatuhi hukuman 43 tahun di bawah undang-undang lèse-majesté dibebaskan dari penjara selepas lapan tahun setelah dia menerima pengampunan diraja.
Wanita itu, yang mengaku bersalah, telah berkongsi klip audio dalam talian daripada seorang podcaster yang mengkritik institusi diraja. – AFP