Lebih 14,000 penerbangan dibatalkan susulan ribut musim sejuk di AS

Paparan maklumat penerbangan menunjukkan banyak penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Ronald Reagan, Washington, DC pada 24 Januari 2026/ Foto AFP

ISTANBUL, 25 Januari – Lebih 14,000 penerbangan di seluruh Amerika Syarikat (AS) dibatalkan sehingga Isnin susulan ribut musim sejuk yang diramal paling kuat dalam sejarah negara itu mengganggu perjalanan udara, lapor Anadolu Ajansi (AA) merujuk data perkhidmatan penjejakan penerbangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribut musim sejuk akan menjejaskan kawasan luas dari Barat Daya hingga Timur Laut, menyebabkan kawalan kecemasan di banyak negeri.
  • Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan salji lebat, hujan sejuk beku dan slit meluas, meningkatkan risiko gangguan dan kecelakaan.
  • Presiden Trump mengisytiharkan darurat untuk 12 negeri; sekurang-kurangnya 22 negeri dan Washington, DC turut mengisytiharkan kecemasan.

Data FlightAware menunjukkan sebanyak 3,898 pembatalan dicatatkan pada Sabtu, dengan 8,822 lagi dijangka pada Ahad manakala tambahan 1,549 pembatalan pada Isnin. Lebih 3,004 kelewatan turut direkodkan pada Sabtu.

Jutaan penduduk di seluruh AS kini berdepan situasi darurat apabila ribut itu dijangka menjejaskan kawasan dari Barat Daya hingga Timur Laut bermula Sabtu.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memaklumkan bahawa salji lebat akan melanda dari Oklahoma hingga selatan Maine, manakala “hujan sejuk beku dan slit yang meluas” diramal berlaku di kawasan Selatan dan Tenggara AS.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini memberi amaran tentang “gelombang sejuk yang memecahkan rekod” dijangka melanda puluhan negeri. Trump telah meluluskan pengisytiharan darurat untuk 12 negeri, sementara sekurang-kurangnya 22 negeri dan Washington, DC turut mengisytiharkan darurat.- BERNAMA