Lebih 100 penceramah asing disekat hadiri sidang demokrasi India

Foto AFP

NEW DELHI, 13 November – Kerajaan India didakwa menyekat lebih 100 penceramah antarabangsa daripada menghadiri persidangan demokrasi anjuran parti pembangkang, Kongres, menurut seorang pemimpin kanan parti itu pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Shashi Tharoor mendakwa 115 daripada 315 penceramah awalnya diluluskan kemudian dinafikan atau visa dibatalkan, dipercayai atas arahan Kementerian Dalam Negeri.
  • Wartawan Norway Helle Lyng visanya dibatalkan sebelum berlepas; beliau dijemput bercakap mengenai kebebasan media dan pernah soal Modi sebelum ini.
  • Persatuan Editor India mengutuk tindakan itu sebagai campur tangan birokrasi melampau dan menggesa pendedahan alasan serta pembatalan keputusan.
  • Persidangan dua hari di Hyderabad menghimpunkan kira-kira 1,000 delegasi dari lebih 70 negara untuk membincangkan demokrasi, perubahan iklim, AI dan kerjasama global.

Antara mereka yang dinafikan visa ialah seorang wartawan Norway yang sebelum ini pernah mengajukan soalan kepada Perdana Menteri, Narendra Modi berhubung kebebasan media.

Ahli Parlimen Kongres yang juga bekas pegawai kanan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Shashi Tharoor mendakwa, seramai 115 daripada 315 penceramah yang mendapat kelulusan Kementerian Luar India kemudiannya dinafikan kemasukan ke negara itu atau visa mereka dibatalkan, dipercayai atas arahan Kementerian Dalam Negeri.

“Langsung tidak jelas peruntukan undang-undang mana yang digunakan kerajaan untuk mengambil tindakan drastik sedemikian,” tulis Tharoor di platform X.

Ketika ditanya mengenai tindakan penolakan visa itu, jurucakap Kementerian Luar India berkata,urusan visa merupakan hak kedaulatan mana-mana negara atau kerajaan.

Wartawan Norway, Helle Lyng pada Rabu memaklumkan, visanya dibatalkan tidak lama sebelum beliau dijadual berlepas ke India, selepas dijemput untuk menyampaikan ucapan mengenai media dan kebebasan akhbar.

Beliau sebelum ini pernah mengajukan soalan kepada Modi dalam satu sidang media ketika lawatan pemimpin itu ke Oslo pada Mei lalu.

Persatuan Editor India mengutuk tindakan pembatalan visa itu dengan menyifatkannya sebagai campur tangan birokrasi yang melampau, selain menggesa kerajaan mendedahkan alasan tindakan berkenaan dan membatalkan keputusan itu.

Persidangan selama dua hari yang bermula pada Jumaat di bandar Hyderabad menghimpunkan kira-kira 1,000 delegasi dari lebih 70 negara bagi membincangkan demokrasi, perubahan iklim, kecerdasan buatan (AI) dan kerjasama global. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.