Krisis minyak: stesen sesak, rakyat berebut isi tangki

Orang ramai beratur untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Ahmedabad pada 23 Mac 2026 susulan gangguan import akibat konflik Asia Barat/ Foto AFP

NEW DELHI, 26 Mac – Gelombang pembelian panik bahan api mencetuskan kekalutan di seluruh India apabila rakyat berpusu-pusu ke stesen minyak, meskipun kerajaan menegaskan bekalan petrol dan diesel negara masih mencukupi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembelian panik mencetuskan kekalutan walaupun kerajaan menegaskan inventori minyak selamat.
  • Stesen minyak sesak dengan barisan panjang, pengguna terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan minyak.
  • Operator mengenakan had pembelian; ramai hanya dibenarkan isi sedikit atau tidak dapat isi penuh tangki.
  • Pakar kata ini lingkaran panik, pembelian berlebihan berpotensi menukar gangguan sementara menjadi krisis sebenar.

Fenomena “panic buying” itu tercetus susulan kebimbangan terhadap gangguan bekalan global selepas Iran hampir menutup sepenuhnya Selat Hormuz, laluan kritikal yang mengendalikan sekitar 20 peratus perdagangan minyak dunia.

Walaupun kerajaan pimpinan Narendra Modi memberi jaminan bahawa inventori minyak mentah negara berada pada tahap selamat, mesej tersebut gagal meredakan kebimbangan rakyat.

Sebaliknya, panik semakin merebak.

Di beberapa negeri termasuk Gujarat, Telangana dan Karnataka, stesen minyak dilaporkan sesak luar biasa dengan barisan kenderaan mengular sejauh ratusan meter. Ada pengguna sanggup menunggu hampir sejam hanya untuk mendapatkan bekalan terhad.

Operator stesen pula terpaksa mengenakan had pembelian.

Malah ada pelanggan hanya dibenarkan mengisi minyak dalam jumlah kecil, malah ada yang langsung tidak dapat mengisi penuh tangki.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila beberapa stesen kehabisan stok buat sementara waktu akibat lonjakan permintaan mendadak, sekali gus mencetuskan persepsi seolah-olah krisis bekalan sebenar sedang berlaku.

Syarikat minyak milik kerajaan seperti Indian Oil Corporation Limited tampil menafikan dakwaan tersebut, menyifatkan situasi itu sebagai didorong sepenuhnya oleh khabar angin.

“Tiada kekurangan petrol atau diesel,” menurut kenyataan syarikat itu, sambil menegaskan rantaian bekalan masih berjalan seperti biasa.

Pakar ekonomi menyifatkan situasi ini sebagai “lingkaran panik” apabila kebimbangan mencetuskan pembelian berlebihan, yang seterusnya mewujudkan gangguan sementara dan mengukuhkan lagi ketakutan orang ramai.

Ironinya, tindakan pengguna sendiri kini menjadi punca utama kekurangan sementara di beberapa lokasi.

Sekiranya trend pembelian panik ini berterusan, ia berpotensi menekan sistem pengedaran bahan api dan mempercepatkan krisis yang sebelum ini hanya wujud dalam persepsi.

Buat masa ini, pihak berkuasa terus menggesa rakyat agar bertenang dan tidak bertindak melulu.

Namun dengan barisan panjang masih berterusan, “demam panik” ini dilihat belum menunjukkan tanda reda.- AFP