Korban tanah runtuh di Jawa Barat meningkat kepada 48

Foto AFP

JAKARTA, 27 Januari – Jumlah kematian akibat kejadian tanah runtuh yang melanda Kampung Pasirlangu, Daerah Kecil Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, di Wilayah Jawa Barat, Indonesia, Sabtu lepas, meningkat kepada 48 orang, dengan 30 mangsa sudah dikenal pasti, lapor Xinhua memetik media tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah korban meningkat kepada 48 dengan 30 mangsa telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
  • Identifikasi 18 mayat masih berjalan melalui padanan data forensik dan perbandingan maklumat ante-mortem.
  • Pihak berkuasa mengerahkan anjing pengesan dan menyediakan sokongan pemulihan trauma serta bantuan untuk kanak-kanak.

Media tempatan memetik Polis Jawa Barat sebagai berkata pos Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) di lokasi kejadian menerima sebanyak 48 beg mayat yang dipindahkan oleh pasukan mencari dan menyelamat bersama.

Daripada jumlah itu, kira-kira 30 mayat berjaya dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Polis berkata kerja pengecaman ke atas baki 18 mayat masih diteruskan melalui proses padanan data, termasuk perbandingan maklumat bedah siasat dan “ante-mortem”, ketika senarai orang hilang terus dikemas kini.

Bagi mempercepatkan usaha pencarian, pihak berkuasa turut mengerahkan anjing pengesan bagi membantu pasukan bersama mengesan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tanah, khususnya di kawasan yang sukar diakses oleh jentera berat.

Pejabat Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Kota Bandung turut menyediakan perkhidmatan pemulihan trauma kepada kanak-kanak yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh itu.

Bantuan merangkumi sokongan psikologi serta pengagihan mainan pendidikan, ubat-ubatan dan pakaian di pusat pemindahan, bagi membantu memulihkan kesejahteraan mental kanak-kanak. – BERNAMA