
HOUSTON, 10 Mac– Konflik di Asia Barat dijangka terus memberi tekanan kepada pasaran minyak dan gas global, malah ketidaktentuan bekalan mungkin berlarutan walaupun perang berakhir.
- Penganalisis CSIS: gangguan bekalan kini antara yang terbesar pernah direkodkan dalam pasaran tenaga dunia.
- Kira-kira 20 juta tong minyak sehari melalui Selat Hormuz terjejas, mewakili kira-kira satu perlima penggunaan dunia.
- Bekalan LNG turut terjejas kerana Qatar menggunakan laluan itu, menjejaskan pasaran gas cecair global.
- Kekurangan bekalan dijangka mendorong kenaikan harga tenaga dan menjejaskan kos pengangkutan, penerbangan serta perbelanjaan pengguna.
Penganalisis tenaga di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Clay Seigle berkata, gangguan bekalan yang berlaku ketika ini antara yang terbesar pernah direkodkan dalam pasaran tenaga dunia.
Menurut beliau, kira-kira 20 juta tong minyak sehari yang melalui Selat Hormuz terjejas akibat konflik tersebut.
“Jumlah itu mewakili kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak dunia, jadi gangguan seperti ini memberi tekanan besar kepada pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara di Houston, Amerika Syarikat.
Seigle menjelaskan, gangguan laluan penghantaran di Selat Hormuz menyebabkan kapal tangki sukar beroperasi seperti biasa, sekali gus menjejaskan bekalan minyak dan gas ke pasaran global.
Selain minyak mentah, bekalan gas asli cecair (LNG) turut terjejas kerana Qatar merupakan antara pengeksport utama yang menggunakan laluan tersebut.
Beliau berkata, kekurangan bekalan dijangka mendorong kenaikan harga tenaga dan memberi kesan kepada pelbagai sektor ekonomi.
“Apabila bekalan berkurangan, harga tenaga biasanya akan meningkat dan kesannya boleh dirasai dalam kos pengangkutan, perjalanan udara serta perbelanjaan pengguna,” katanya lagi.
Menurut Seigle, ketegangan geopolitik di Asia Barat berpotensi menyebabkan pasaran tenaga global kekal tidak stabil dalam tempoh yang lebih lama.
Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, kenaikan harga minyak dalam jangka pendek merupakan kesan yang dijangka daripada tindakan Washington terhadap Iran. -REUTERS