Konflik Asia Barat: Jumlah kematian 1,230 orang

Foto AFP

TEHRAN, 6 Mac – Seramai 1,230 orang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel sejak tercetusnya konflik Asia Barat pada Sabtu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persatuan Bulan Sabit Merah Iran melaporkan 105 lokasi diserang, 1,332 serangan di 636 lokasi, dan 14 institusi perubatan rosak.
  • Pegawai Iran mendakwa serangan bersama AS dan Israel mengorbankan pemimpin tertinggi Ali Khamenei, ahli keluarga, komander kanan dan orang awam.
  • Iran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron, menembak jatuh dron Hermes, mendakwa jatuhkan F-15E, serta lancar Khorramshahr-4 ke Tel Aviv.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Yayasan Hal Ehwal Syahid dan Veteran Iran dalam satu kenyataan menerusi laman webnya pada Khamis.

Dalam pada itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) berkata sebanyak 105 lokasi dan kemudahan awam di negara itu menjadi sasaran serangan AS dan Israel sejak tercetusnya konflik.

Menurut IRCS, sebanyak 1,332 serangan direkodkan di 636 lokasi di seluruh Iran sejak Sabtu, dengan 14 institusi perubatan dan farmaseutikal dilaporkan mengalami kerosakan.

Serangan bersama Israel dan AS ke atas Tehran serta beberapa bandar utama Iran pada Sabtu lalu dilaporkan mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, ahli keluarganya, beberapa komander kanan tentera dan orang awam, menurut pegawai Iran.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta aset AS di seluruh Asia Barat.

Memasuki hari keenam konflik, tentera Iran pada Khamis berkata sistem pertahanan udara negara itu berjaya menembak jatuh dron Hermes milik Israel.

Dalam kenyataan berasingan, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa pihaknya turut menembak jatuh pesawat pejuang F-15E Strike Eagle milik Amerika Syarikat berhampiran sempadan tenggara Iran.

IRGC juga berkata pihaknya melancarkan peluru berpandu Khorramshahr-4 ke arah Tel Aviv, termasuk Lapangan Terbang Ben Gurion dan kemudahan tentera udara Israel yang terletak di kawasan berkenaan.-REUTERS