Konflik Asia Barat: Houthi sahkan serangan pertama ke atas Israel

Anggota polis Houthi berkawal dengan senjata api automatik ketika perhimpunan solidariti menyokong Iran di Sanaa, Yaman/Foto REUTERS

SANAA, 28 Mac – Kumpulan Houthi Yaman mengesahkan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel, yang pertama sejak konflik melibatkan Iran tercetus bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurucakap Houthi, Yahya Sarea, berkata serangan sasar lokasi ketenteraan sensitif di selatan wilayah Palestin yang diduduki.
  • Operasi dilaksanakan serentak dengan tindakan yang digambarkan sebagai "heroik" oleh Iran dan Hezbollah.
  • Yahya menegaskan operasi akan diteruskan sehingga pencerobohan terhadap barisan penentangan dihentikan.
  • Israel mendakwa berjaya memintas peluru berpandu; serangan meluaskan konflik menjelang minggu kelima selepas tindakan ke atas Iran.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, berkata operasi itu menyasarkan “lokasi ketenteraan sensitif” di selatan wilayah Palestin yang diduduki.

“Angkatan bersenjata Yaman telah melaksanakan operasi ketenteraan pertama menggunakan beberapa peluru berpandu balistik ke atas sasaran musuh Israel,” katanya dalam kenyataan disiarkan saluran Al-Masirah.

Beliau berkata serangan itu dilaksanakan serentak dengan operasi yang digambarkan sebagai “heroik” oleh sekutu mereka di Iran serta Hezbollah di Lubnan.

“Operasi ini berjaya mencapai objektifnya dengan izin Tuhan,” katanya.

Yahya turut menegaskan operasi akan diteruskan sehingga “pencerobohan terhadap semua barisan penentangan dihentikan.”

Israel bagaimanapun mendakwa berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman.

Serangan itu menandakan peluasan konflik yang kini memasuki minggu kelima, susulan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Houthi sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertindak jika tekanan terhadap Iran dan paksi penentangan berterusan, selain pernah melancarkan serangan terhadap laluan perkapalan di Laut Merah sebagai sokongan kepada Gaza. – REUTERS