Konflik Asia Barat dorong kenaikan harga minyak di Filipina

FOTO REUTERS

MANILA, 9 Mac – Pemandu dan pemilik kenderaan di Manila beratur panjang di stesen minyak pada Isnin sebagai persediaan menghadapi kenaikan ketara harga bahan api susulan konflik berterusan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Tenaga Filipina umum kenaikan harga bahan api 17 hingga 24 peso bermula 10 Mac, dengan pelarasan berperingkat sepanjang minggu.
  • Pihak berkuasa beri amaran kenaikan lebih lanjut jika konflik Asia Barat berterusan.
  • Kerajaan rancang potong cukai eksais, subsidi untuk pengangkutan dan minggu kerja empat hari untuk kurangkan kesan kenaikan.

Jabatan Tenaga Filipina memaklumkan harga bahan api akan meningkat antara 17 hingga 24 peso (0.29 hingga 0.41 dolar AS) bermula 10 Mac, dengan pelarasan dibuat secara berperingkat sepanjang minggu ini.

Pihak berkuasa turut memberi amaran kemungkinan kenaikan tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berterusan.

Seorang pemandu jeepney, Ric Perez berkata kenaikan harga bahan api itu akan memberi kesan langsung kepada sumber pendapatan ramai pihak, khususnya pengusaha pengangkutan awam.

Dia membawa bekas minyak untuk mengisi bahan api lebih awal sebelum harga baharu berkuat kuasa.

Sementara itu, ramai aktivis mengadakan protes berhampiran sebuah stesen minyak di Manila pada awal pagi Isnin bagi membantah kenaikan harga tersebut, selain menggesa kerajaan mengawal harga bahan api.

Presiden kumpulan pengangkutan awam Piston, Mody Flaranda berkata pemandu jeepney yang memperoleh purata 600 peso (sekitar AS$10.30) sehari berdepan risiko kehilangan sumber pendapatan sekiranya harga bahan api terus meningkat tanpa kawalan.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos pula berkata kerajaan sedang merangka beberapa langkah bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak, termasuk mengurangkan cukai eksais bahan api, menyediakan subsidi kepada sektor pengangkutan serta mengarahkan beberapa pejabat kerajaan melaksanakan minggu kerja empat hari.-REUTERS