
KIEV, 15 Januari – Beberapa kawasan kediaman di ibu negara Ukraine, Kiev, dilanda gangguan bekalan elektrik berjadual, susulan serangan berulang Rusia ke atas infrastruktur tenaga negara itu sepanjang hampir empat tahun konflik yang berterusan.
- Serangan Russia menyasarkan loji jana kuasa dan pencawang, menyebabkan gangguan bekalan elektrik berjadual di Kiev.
- Pemadaman terpaksa dilaksanakan sementara pasukan pembaikan bekerja dalam keadaan berbahaya untuk memulihkan grid.
- Suhu sekitar negatif 10°C meningkatkan tekanan kepada sistem tenaga dan keperluan import serta pertahanan udara untuk kestabilan.
Rakaman di lapangan menunjukkan suasana gelap di kawasan perumahan yang diselaputi salji, dengan bangunan kediaman tanpa bekalan elektrik ketika waktu pemadaman.
Pihak berkuasa Ukraine berkata Rusia telah berulang kali menyasarkan loji jana kuasa dan pencawang menggunakan peluru berpandu serta dron, dalam usaha melumpuhkan bekalan elektrik dan pemanasan, selain menjejaskan sektor perindustrian.
“Kempen serangan itu memaksa pelaksanaan pemadaman bergilir dan pemotongan kecemasan di bandar-bandar seluruh negara, ketika pasukan pembaikan bekerja dalam keadaan berbahaya dan Ukraine bergantung kepada sistem pertahanan udara serta import elektrik bagi menstabilkan grid tenaga,” menurut Kiev.
Di ibu negara, suhu mencecah sekitar negatif 10 darjah Celsius, dengan pegawai Ukraine memberi amaran bahawa gelombang cuaca sejuk berpanjangan berpotensi memberi tekanan tambahan kepada sistem tenaga negara itu. – REUTERS