Khalil al-Hayya dipilih ketua baharu Hamas

Khalil al-Hayya dipilih sebagai ketua baharu biro politik Hamas menggantikan Yahya al-Sinwar/Foto AFP

GAZA, 20 Julai – Hamas mengumumkan Khalil al-Hayya dipilih sebagai ketua baharu biro politik pergerakan itu, menggantikan Yahya al-Sinwar yang terbunuh dalam serangan Israel tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hayya juga ketua perunding kumpulan dalam rundingan tidak langsung gencatan senjata dengan Israel.
  • Biro politik akan bermesyuarat di Istanbul untuk membentuk jawatankuasa baru dan menyusun semula struktur kepimpinan.
  • Pemilihan dijalankan secara sulit kerana situasi keselamatan; sayap bersenjata Briged Izzuddin al-Qassam memberi sokongan penuh.

Dalam satu kenyataan, Hamas memaklumkan Hayya, yang juga ketua perunding kumpulan itu dalam rundingan tidak langsung gencatan senjata dengan Israel, dipilih bagi menerajui kepimpinan politik pergerakan berkenaan.

Hayya menewaskan bekas ketua Hamas, Khaled Meshaal, dalam pemilihan tersebut dan dijangka secara rasmi memegang jawatan itu minggu depan.

Menurut seorang pegawai kanan Hamas, biro politik kumpulan itu akan mengadakan mesyuarat di Istanbul dalam tempoh beberapa hari lagi bagi membentuk jawatankuasa baharu serta menyusun semula struktur kepimpinannya.

Beliau berkata, majlis kepimpinan lima anggota yang mengetuai Hamas sejak kematian Yahya al-Sinwar akan dibubarkan selepas semua ahlinya mengemukakan peletakan jawatan kepada Majlis Syura Hamas.

Sumber Hamas berkata, proses pemilihan dijalankan secara sulit berikutan situasi keselamatan yang mencabar serta siri pembunuhan pemimpin politik dan ketenteraan kumpulan itu oleh Israel.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Izzuddin al-Qassam, turut mengumumkan sokongan penuh terhadap pelantikan Hayya.

Yahya al-Sinwar terbunuh dalam operasi tentera Israel di Gaza pada 2024, setahun selepas Israel menuduhnya sebagai antara dalang utama serangan 7 Oktober 2023.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.