Kes influenza Singapura meningkat, kadar positif 36.6 peratus

Foto Janaan AI

SINGAPURA, 1 September – Singapura mencatatkan peningkatan kes influenza, dengan kadar positif meningkat kepada 36.6 peratus pada minggu 16 hingga 22 Ogos 2026, berbanding 24 peratus pada minggu sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • CDA tidak menemui petunjuk jangkitan influenza lebih teruk daripada biasa.
  • Tahap positif semasa masih di bawah kemuncak tahun lalu iaitu 43.9 peratus; CDA terus memantau keadaan.
  • Virus influenza menular sepanjang tahun dengan aktiviti lebih tinggi biasanya Mei hingga Ogos dan Disember hingga Mac.
  • Individu berisiko dan golongan rentan dinasihatkan mendapatkan vaksin influenza sekurang-kurangnya sekali setahun.

Bagaimanapun, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), tiada petunjuk bahawa jangkitan itu lebih serius daripada biasa.

“Tahap positif influenza semasa masih berada di bawah paras tertinggi tahun lepas iaitu 43.9 peratus yang dicatatkan pada Januari 2025. CDA sedang memantau keadaan,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut CDA, data pemantauan kebangsaan Singapura menunjukkan virus influenza bermusim menular sepanjang tahun, dengan tempoh aktiviti lebih tinggi biasanya direkodkan antara Mei hingga Ogos serta Disember hingga Mac.

Dua kemuncak aktiviti ini secara umumnya bertepatan dengan musim sejuk di Hemisfera Utara dan Selatan, namun masanya mungkin berbeza dari tahun ke tahun disebabkan faktor seperti perjalanan antarabangsa dan corak percampuran penduduk, tambah agensi itu.

Agensi tersebut turut menasihati individu berisiko tinggi mendapat jangkitan influenza yang teruk serta golongan rentan yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada supaya mendapatkan vaksinasi influenza sekurang-kurangnya sekali setahun.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.