Kennedy Center ditutup dua tahun sempena ulang tahun ke-250 AS

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump/AFP

WASHINGTON, 2 Februari -Kompleks Seni Persembahan Kennedy Center di sini, akan ditutup untuk tempoh dua tahun bermula 4 Julai depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kennedy Center akan ditutup selama dua tahun bermula 4 Julai untuk pengubahsuaian menyeluruh bersempena ulang tahun ke-250 negara.
  • Presiden Trump mengumumkan penutupan dan bercadang menamakan semula pusat itu sebagai Trump Kennedy Center.
  • Semua operasi hiburan dihentikan kerana dikatakan akan mengganggu kerja pembinaan, termasuk konsert, opera dan balet.
  • Washington National Opera mengumumkan akan meninggalkan Kennedy Center; beberapa pihak menentang penambahan nama Trump.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Ahad berkata, penutupan itu bagi melakukan kerja-kerja pengubahsuaian menyeluruh bersempena ulang tahun ke-250 negara itu.

“Saya telah menentukan bahawa cara terpantas untuk membawa Trump Kennedy Center ke tahap kejayaan, keindahan dan keagungan tertinggi adalah dengan menghentikan semua operasi hiburan selama kira-kira dua tahun,” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.

Keputusan itu, menurut beliau, tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah yang dilantik sendiri selepas beliau mengambil alih jawatan pengerusi.

Trump menjelaskan bahawa penganjuran konsert, opera, muzikal, balet serta acara seni interaktif akan mengganggu dan melambatkan kerja pembinaan, justeru penutupan penuh sementara adalah perlu.

“Trump Kennedy Center, jika ditutup sementara untuk pembinaan, pemulihan dan pembinaan semula sepenuhnya, akan boleh dilaksanakan dengan lancar dengan kemudahan seni persembahan terbaik seumpamanya di dunia.

“Amerika akan berbangga dengan mercu tanda baharu yang indah ini untuk generasi akan datang,” katanya.

Washington National Opera turut mengumumkan keputusan untuk meninggalkan Kennedy Center, yang menjadi kediamannya sejak pembukaan pusat tersebut.

Sebahagian pihak secara terbuka menyatakan tentengan terhadap penambahan nama Trump pada institusi dan bangunan itu. – AFP