Kedutaan laksana program dalam talian: 142 orang terkandas di Qatar

142 orang terkandas di Qatar

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar akan melaksanakan dua program dalam talian bagi mengurangkan tekanan serta meningkatkan motivasi dan keyakinan 142 rakyat Malaysia yang kini terkandas di negara itu susulan situasi tegang di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedutaan anjur wacana minda dan program muzik Ramadan untuk kurangkan tekanan dan tingkatkan motivasi warga Malaysia di Qatar.
  • 142 rakyat Malaysia dikenalpasti, ditempatkan di beberapa hotel sekitar Doha dan dipantau oleh wakil kedutaan.
  • Kedutaan menggesa rakyat ikut maklumat rasmi daripada kedutaan, Kementerian Luar dan agensi berkaitan Qatar.
  • Laluan darat ke Arab Saudi boleh digunakan dalam kecemasan tetapi tidak digalakkan dan perlu diatur sendiri.

Duta Besar Malaysia ke Qatar, Mohd Faizal Razali berkata program berkenaan ialah wacana minda yang akan membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil ketika berdepan situasi semasa di negara itu, selain program muzik Ramadan Nirplag yang melibatkan pemuzik tempatan Qatar.

“Saya berharap rakyat Malaysia di Qatar akan menyokong program ini dan terus bersatu dalam menghadapi keadaan sukar ini,” katanya ketika menjadi tetamu secara maya dalam program Malaysia Petang Ini: Konflik Asia Barat: Situasi Terkini di Qatar yang disiarkan oleh Bernama TV pada Khamis.

Menurut beliau, seramai 142 rakyat Malaysia kini sedang transit di Qatar dan kesemua mereka telah dikenal pasti serta ditempatkan di beberapa hotel sekitar Doha. Mereka terdiri daripada penumpang Malaysia Airlines dan Qatar Airways.

Katanya, wakil Kedutaan Malaysia turut ditempatkan di hotel yang sama bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga.

Mohd Faizal berkata kesemua kira-kira 5,500 rakyat Malaysia yang berada di Qatar ketika ini berada dalam keadaan baik dan tiada laporan mengenai kecederaan melibatkan mana-mana rakyat Malaysia setakat ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia di Qatar supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa daripada sumber sahih, khususnya notis yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan, Kementerian Luar Negeri Qatar, Kementerian Dalam Negeri Qatar serta pihak pertahanan negara itu.

Menurut beliau, sekiranya terdapat keperluan mendesak, rakyat Malaysia boleh menggunakan laluan darat ke Arab Saudi, namun pendekatan itu tidak digalakkan dan perlu diatur sendiri oleh individu terlibat.

Situasi di Timur Tengah dilaporkan semakin tegang sejak Sabtu lalu apabila Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat, melancarkan serangan terhadap Iran yang kemudiannya mencetuskan serangan balas Tehran terhadap kepentingan Amerika Syarikat di negara-negara Teluk.