Kebakaran berhampiran Hotel Esteghlal Tehran cetus kebimbangan

Foto AFP

TEHRAN, 27 Julai – Kebakaran berlaku di sebuah bangunan berhampiran Hotel Esteghlal, antara hotel utama di utara Tehran, Iran pada Isnin, menyebabkan kepulan asap tebal menyelubungi kawasan sekitar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua pengunjung hotel dipindahkan sebagai langkah keselamatan.
  • Tiada laporan awal kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih belum dikenalpasti.
  • Jentera bomba dan pasukan penyelamat berada di lokasi; kebakaran di Iran sering disebabkan masalah teknikal pada bangunan lama.

Menurut wartawan AFP di lokasi, asap hitam dan putih kelihatan memenuhi ruang udara di sekitar bangunan hotel berkenaan, manakala api dapat dilihat marak dari bangunan berhampiran.

Seorang wartawan televisyen negara yang berada di lokasi memaklumkan, semua pengunjung di dalam hotel telah dipindahkan sebagai langkah keselamatan.

“Semua pengunjung di dalam hotel sedang dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Tiada laporan awal mengenai kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih belum dikenal pasti.

Rakaman televisyen negara menunjukkan beberapa jentera bomba berada di lokasi, sementara anggota penyelamat berusaha mengawal kebakaran yang turut menarik perhatian orang ramai.

Kebakaran sering berlaku di Iran terutama ketika musim panas, dengan kebanyakannya berpunca daripada masalah teknikal di bangunan lama.

Menurut agensi berita negara IRNA, Hotel Esteghlal yang dahulunya dikenali sebagai Royal Hilton, dibina pada era 1960-an dan merupakan antara mercu tanda penginapan terkenal di Tehran.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.