Jerman tegaskan konflik Asia Barat tiada kaitan dengan NATO

Selat Hormuz/REUTERS

BERLIN, 16 Mac – Perang di Asia Barat yang tercetus susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran “tiada kaitan dengan” NATO dan “bukan perang NATO”, kata jurucakap Canselor Jerman Friedrich Merz pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Donald Trump menggesa beberapa negara bantu pastikan laluan selamat di Selat Hormuz, termasuk mengkritik sekutu NATO yang tidak membantu.
  • Jurucakap merujuk NATO sebagai pakatan pertahanan wilayah dan berkata tiada mandat kini untuk pengerahan dalam situasi ini.
  • Berlin mahu Israel dan Amerika Syarikat jelaskan objektif ketenteraan mereka di Iran sebelum sebarang kerjasama lebih lanjut.
  • Jerman tidak akan terlibat secara ketenteraan; akan menyokong usaha diplomatik dan menumpukan pada komitmen di sayap timur NATO.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad menggesa beberapa negara termasuk Korea Selatan, Perancis, China dan Britain membantu memastikan laluan selamat di Selat Hormuz, yang diisytiharkan Iran ditutup kepada kapal berkaitan Amerika Syarikat serta sekutunya.

Trump kemudian meningkatkan tekanan terhadap sekutu NATO dengan memberitahu akhbar Financial Times bahawa pakatan itu berdepan masa depan “sangat buruk” sekiranya negara anggotanya tidak membantu membuka semula laluan tersebut.

Jurucakap Merz, Stefan Kornelius, berkata NATO merupakan pakatan untuk mempertahankan wilayah dan pada masa ini tiada mandat untuk mengerahkan pakatan itu dalam situasi berkenaan.

Dalam taklimat media yang sama, jurucakap Kementerian Luar Jerman berkata Berlin perlu mengetahui daripada Israel dan Amerika Syarikat berhubung objektif ketenteraan mereka di Iran.

Merz pada Jumaat lalu menegaskan perang di Asia Barat perlu ditamatkan “secepat mungkin” kerana konflik itu “tidak menguntungkan sesiapa dan memberi kesan ekonomi kepada banyak pihak, termasuk EU.

Dalam taklimat berasingan pada Isnin, Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius berkata Berlin mahu semua pihak terlibat mengelakkan “eskalasi ketenteraan selanjutnya”.

Beliau menegaskan Jerman tidak akan terlibat secara ketenteraan, namun bersedia menyokong usaha diplomatik bagi memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz.

“Kita berdepan situasi yang tidak kita cetuskan… Perang ini bermula tanpa sebarang rundingan dengan kami,” katanya.

Menurut Pistorius, tanggungjawab utama Jerman adalah di “sayap timur dan kawasan utara tinggi” NATO dan negara itu perlu kekal memberi tumpuan kepada komitmen tersebut.

“Apa yang diharapkan Donald Trump daripada beberapa buah frigat Eropah di Selat Hormuz yang tidak mampu dilakukan oleh tentera laut Amerika Syarikat yang jauh lebih besar?” katanya. – AFP