
BEIRUT, 18 Mac – Media Lubnan melaporkan Israel melancarkan serangan di kawasan tengah Beirut serta pinggir selatan bandar itu pada awal pagi Rabu, tanpa sebarang amaran.
- Serangan menyasarkan sebuah apartmen di Zuqaq al-Blat; minggu lalu firma kewangan Al-Qard Al-Hassan juga dibidik.
- Lokasi berhampiran ibu pejabat kerajaan dan beberapa kedutaan asing; serangan turut dilaporkan di daerah Basta serta pinggir selatan Beirut.
- Lubnan terlibat sejak 2 Mac selepas Hizbullah melancarkan serangan sebagai tindak balas kepada serangan Amerika Syarikat dan Israel yang didakwa mengorbankan pemimpin Iran.
Menurut laporan media tempatan, serangan menyasarkan sebuah apartmen di Zuqaq al-Blat. Minggu lalu, tentera Israel turut menyasarkan firma kewangan berkait Hizbullah, Al-Qard Al-Hassan di kawasan sama.
Lokasi berkenaan terletak berhampiran ibu pejabat kerajaan serta beberapa kedutaan asing.
Dalam serangan minggu lalu, tentera Israel dilaporkan mengeluarkan amaran pemindahan lebih awal sebelum melancarkan serangan.
Sementara itu, satu lagi serangan dilaporkan berlaku di daerah Basta di tengah bandar, yang sebelum ini turut menjadi sasaran ketika konflik antara Israel dan Hizbullah pada 2024.
Wartawan AFP di Beirut melaporkan kedengaran beberapa letupan kuat pada awal pagi Rabu.
Media Lubnan juga melaporkan dua lagi serangan di pinggir selatan Beirut, yang merupakan kubu kuat Hizbullah.
Lubnan mula terlibat dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac lalu, selepas Hizbullah melancarkan serangan ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel yang didakwa mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Israel kemudian melancarkan serangan intensif di beberapa wilayah Lubnan, termasuk operasi darat di selatan negara itu serta beberapa kali menyasarkan kawasan tengah Beirut.-AFP