
TEHRAN, 7 April – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Isnin mendakwa menyasarkan sebuah kapal kontena milik Israel dan sebuah kapal serangan Amerika Syarikat (AS) dalam serangannya.
- IRGC melancarkan gelombang serangan ke-98 ke atas sasaran Israel dan AS, menurut kenyataan rasmi Sepah News.
- IRGC serang pusat strategik di Haifa, kilang petrokimia di Be'er Sheva dan tempat perhimpunan tentera di Petah Tikva dengan peluru berpandu tepat.
- Serangan turut menjejaskan pusat pengeluaran UAV bersama UAE-Israel dan beberapa pesawat di Pangkalan Udara Ali Al Salem.
Dalam satu kenyataan menerusi saluran berita rasminya, Sepah News, IRGC memperincikan gelombang ke-98 serangannya terhadap sasaran Israel dan AS yang dilancarkan awal hari ini.
IRGC mengenal pasti kapal kontena sebagai “SDN7” dan menyatakan yang ia terkena bedilan tepat peluru berpandu krus lalu terbakar.
Kapal serangan amfibia AS, USS Tripoli (LHA-7), yang membawa lebih 5,000 anggota tentera, terpaksa berundur ke selatan Lautan Hindi selepas menjadi sasaran, menurut kenyataan itu.
Menurut IRGC, pasukannya juga menyerang pusat strategik di Bandar Haifa, Israel, serta syarikat dan kilang petrokimia di Be’er Sheva dengan peluru berpandu balistik tepat. Selain itu, tempat perhimpunan tentera Israel di Petah Tikva, tengah Israel, turut menjadi sasaran.
Menurut IRGC, antara sasaran lain yang terkena serangan peluru berpandu dan dron termasuk sebuah pusat pengeluaran bersama pesawat tanpa pemandu (UAV) oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel, serta beberapa pesawat di Pangkalan Udara Ali Al Salem di negara Arab itu.
Pada 28 Februari, Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan bersama ke atas Tehran dan beberapa bandar Iran yang lain, mengakibatkan kematian Pemimpin Agung Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei, bersama komander kanan tentera dan orang awam.
Iran bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan serta aset Israel dan AS di Asia Barat, selain mengenakan kawalan ketat di Selat Hormuz. – BERNAMA