Iraq, wilayah Kurdish rancang sambung semula eksport minyak menerusi saluran paip

Foto AFP

KAHERAH, 18 Mac – Kerajaan Iraq dan wilayah autonomi Kurdish telah bersetuju untuk menyambung semula eksport minyak melalui saluran paip utama yang merentasi Turkiye ke Mediterranean, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Kurdish Masrour Barzani kata negara berada dalam keadaan luar biasa; semua berkongsi tanggungjawab hadapi fasa sukar.
  • Rundingan berterusan untuk menarik balik sekatan terhadap pedagang minyak Kurdish.
  • Kerajaan Baghdad berharap eksport kira-kira 300,000 tong sehari bermula hari ini; negara kini mengeluarkan 1.3 juta tong, sekitar 30% biasa.

Perdana Menteri Kurdish, Masrour Barzani menyatakan terdapat keadaan luar biasa yang sedang berlaku di negara itu. “Kita semua berkongsi tanggungjawab untuk mengharungi fasa sukar ini.” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata rundingan untuk menarik balik sekatan terhadap pedagang minyak Kurdish masih diteruskan.

Sejak bertahun-tahun, wujud pertikaian antara Kerajaan Iraq dan wilayah Kurdish mengenai cara saluran paip itu harus dikendalikan serta bagaimana hasil daripada eksport minyak itu perlu diagihkan.

Kerajaan di Baghdad berharap eksport melalui saluran paip itu akan mencecah kira-kira 300,000 tong sehari, dengan penghantaran dijangka bermula hari ini.

Susulan sekatan de facto di Selat Hormuz akibat perang Iran, Iraq telah pun mengurangkan pengeluaran minyaknya secara ketara.

Menurut Menteri Minyak Iraq, Hayan Abdul Ghani, negara itu kini hanya mengeluarkan 1.3 juta tong minyak mentah, iaitu kira-kira 30 peratus daripada jumlah pengeluaran biasa.-BERNAMA-dpa