Iraq kembali ke Piala Dunia selepas 40 tahun

Foto REUTERS

MONTERREY, 2 April – Iraq mengesahkan slot terakhir ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Bolivia 2-1 dalam aksi play-off antara benua di Monterrey, Mexico.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iraq menamatkan penantian 40 tahun untuk kembali ke Piala Dunia.
  • Aymen Hussein muncul wira dengan gol kemenangan pada separuh masa kedua, disudahkan dari hantaran Marko Farji.
  • Perdana Menteri Mohammed Shia al-Sudani sifatkan kejayaan sebagai titik perubahan penting bagi sukan dan imej negara.
  • Iraq tergolong dalam Kumpulan I bersama France, Norway dan Senegal untuk kejohanan.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian selama 40 tahun untuk kembali ke pentas dunia.

Penyerang Aymen Hussein muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua, memastikan Iraq menjadi pasukan ke-48 dan terakhir layak ke kejohanan yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat Jun depan.

Iraq terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Ali Al Hamadi.

Namun Bolivia bangkit menyamakan kedudukan sebelum rehat hasil jaringan Moises Paniagua.

Pasukan yang dijuluki dengan gelaran ‘Singa Mesopotamia’ itu kembali di hadapan pada minit ke-53 apabila hantaran lintang Marko Farji berjaya disudahkan oleh Hussein untuk gol kemenangan.

Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani menyifatkan kejayaan itu sebagai satu detik penting dalam sejarah sukan negara.

“Kelayakan ini adalah titik perubahan besar buat sukan Iraq dan mengukuhkan kedudukan negara di pentas global,” katanya.

Ketua jurulatih Iraq, Graham Arnold pula memuji semangat juang pemainnya yang beraksi penuh komitmen sepanjang perlawanan.

“Saya sangat gembira kerana kami berjaya menggembirakan 46 juta rakyat Iraq,” katanya.

Iraq, yang merupakan wakil kesembilan dari Asia, akan beraksi dalam Kumpulan I bersama France, Norway dan Senegal.

Kali terakhir Iraq beraksi di Piala Dunia adalah pada edisi 1986 di Mexico.

Namun ketika itu mereka gagal melepasi peringkat kumpulan selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan. – REUTERS