Iran sedia lancar tindak balas lebih ‘keras’

Foto AFP

TEHRAN, 11 Mac – Kepimpinan tertinggi Iran sedia untuk melancarkan tindak balas lebih ‘keras’ terhadap siri serangan udara yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, sambil memberi amaran bahawa konflik tersebut kini memasuki fasa peperangan infrastruktur yang lebih berbahaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pezeshkian tekankan Iran pewaris tamadun 6,000 tahun dengan daya tahan tinggi terhadap pencerobohan asing.
  • Ali Larijani kata kestabilan Selat Hormuz bergantung kepada tindakan pihak lawan.
  • Mohammad Bagher Ghalibaf tolak gencatan senjata dan gesa tindakan balas tanpa pengecualian.
  • Iran tidak akan teragak-agak mensasarkan infrastruktur musuh termasuk fasiliti tenaga dan loji penyahgaraman air.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dalam satu kenyataan rasmi menerusi media sosial menegaskan, Iran merupakan pewaris tamadun berusia 6,000 tahun yang mempunyai daya tahan tinggi terhadap sebarang bentuk pencerobohan asing.

“Penceroboh telah datang dan pergi (sepanjang sejarah), namun Iran tetap kekal berdiri teguh. Sesiapa yang berhasrat memusnahkan negara ini ternyata tidak memahami sejarah,” tegas Pezeshkian sebagai reaksi kepada operasi ‘Roaring Lion‘ yang dimulakan oleh pakatan AS-Israel pada 28 Februari lalu.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran, Ali Larijani memberi amaran bahawa kestabilan Selat Hormuz, laluan perdagangan minyak paling kritikal di dunia kini bergantung sepenuhnya kepada tindakan pihak lawan.

Beliau menyatakan bahawa selat tersebut sama ada akan menjadi ‘laluan keamanan dan kemakmuran untuk semua’ atau bertukar menjadi ‘medan kekalahan dan penderitaan bagi penghasut perang.’

Sementara itu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menolak sebarang usaha gencatan senjata buat masa ini.

Beliau memberi amaran bahawa Iran akan tidak akan teragak-agak untuk membalasa setiap serangan tanpa pengecualian.

“Jika mereka memulakan perang terhadap infrastruktur, kami tanpa teragak-agak akan menyasarkan infrastruktur mereka sebagai balasan,” katanya, merujuk kepada kemungkinan serangan balas ke atas fasiliti tenaga dan loji penyahgaraman air di rantau Teluk.-REUTERS