
TEHRAN, 26 Februari – Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berlepas ke Geneva bagi menyertai pusingan seterusnya rundingan nuklear tidak langsung dengan Amerika Syarikat (AS) yang dijadual berlangsung pada Khamis.
- Perbincangan nuklear tidak langsung antara Iran dan AS di Geneva meneruskan rundingan yang disambung semula bulan lepas.
- Delegasi Iran diketuai Menteri Luar Abbas Araghchi bersama pegawai kanan dan pakar nuklear serta perundangan.
- Kedua pihak sebelum ini mencapai persetujuan prinsip yang boleh membuka laluan ke arah perjanjian.
- Iran menegaskan tidak akan membangunkan senjata nuklear dan mahu guna teknologi nuklear secara aman.
Araghchi, yang mengetuai pasukan perunding Iran, diiringi delegasi peringkat tinggi termasuk Timbalan Menteri Luar bagi Hal Ehwal Politik Majid Takht-Ravanchi serta pasukan pakar nuklear dan perundangan.
Pihak Amerika, seperti pusingan terdahulu diketuai oleh Utusan Khas AS Steve Witkoff dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner.
Tehran dan Washington mengadakan dua pusingan rundingan tidak langsung di bawah pengantaraan Oman sejak diplomasi nuklear disambung semula bulan lepas, susulan usaha beberapa negara serantau termasuk Turkiye untuk meredakan ketegangan.
Selepas pusingan terdahulu di Geneva yang menyusuli rundingan pertama di Muscat, kedua-dua pihak memberikan penilaian positif dan bersetuju mengenai “prinsip panduan” yang menurut perunding Iran boleh membuka laluan ke arah potensi persetujuan.
Menerusi hantaran di platform X pada Selasa, Araghchi berkata, delegasi Iran menuju ke Geneva dengan tekad untuk mencapai perjanjian yang adil dan saksama dalam tempoh sesingkat mungkin.
Beliau menegaskan Iran dalam apa jua keadaan tidak akan membangunkan senjata nuklear, namun akan memanfaatkan teknologi nuklear secara aman.
Rundingan itu berlangsung ketika Amerika Syarikat meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau Teluk Parsi, selain beberapa latihan ketenteraan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC). – Bernama