Iran peringatkan balasan ‘membinasakan’ jika diserang, tegaskan diplomasi masih dibuka

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei / FOTO REUTERS

TEHRAN, 11 Februari – Iran memberi amaran akan memberikan balasan “membinasakan” sekiranya negara itu diserang secara ketenteraan, kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran memberi amaran balasan membinasakan jika diserang tentera, menegaskan kesiapsiagaan mempertahankan kedaulatan.
  • Tehran menegur peranan Israel yang menggambarkan program nuklear aman sebagai krisis, menuduhnya merosakkan rundingan.
  • Walaupun berhati-hati kerana tindakan AS lalu, Iran kekal terbuka kepada saluran diplomasi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Iran tidak pernah menolak saluran diplomasi dalam menangani Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu sidang media di Tehran mengenai rundingan antara Iran dengan AS, Baghaei menuduh Israel sengaja menggambarkan program nuklear aman Iran sebagai “krisis nuklear Iran” dan memainkan peranan merosakkan dalam sebarang perbincangan potensi antara kedua-dua negara.

Baghaei menyeru AS supaya memastikan dasar luar negaranya tidak dipengaruhi Israel.

“Kita tidak boleh memasuki proses diplomasi tanpa mengambil kira apa yang berlaku sepanjang 10 hingga 15 tahun lalu, malah tindakan AS dalam tujuh hingga lapan bulan terakhir.

“Semua ini memerlukan kita berhati-hati dalam sebarang proses diplomasi. Pada masa sama, kita berulang kali menekankan bahawa Iran tidak pernah mengelak daripada saluran diplomatik,” kata Baghaei.

Menjawab sekatan dan ancaman AS, jurucakap itu menempelak tindakan AS yang menurutnya terlalu obses dengan menggunakan cara ekonomi untuk menekan Iran, sambil menuduh AS bercakap soal diplomasi tetapi pada masa sama meningkatkan tekanan di belakang tabir.

Baghaei turut menegaskan sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran oleh AS atau Israel akan dibalas secara tegas dan berkuasa. – REUTERS