Iran dakwa serangan AS-Israel cemari alam sekitar

Foto Viory

ANTALYA, 12 November – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mendakwa serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap kemudahan bahan api di Iran membebaskan kira-kira 1.5 juta tan karbon dioksida, sekali gus memberi kesan buruk terhadap alam sekitar untuk tempoh panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pezeshkian menuduh serangan AS dan Israel mencemari alam sekitar dengan pembebasan gas rumah kaca dan pencemaran meluas.
  • Beliau menegaskan peperangan merosakkan tanah, sumber air, udara dan ekosistem, serta memberi kesan berlanjutan kepada generasi akan datang.
  • Beliau menggesa pengukuhan mekanisme antarabangsa untuk merekod kerosakan, menuntut tindakan dan pampasan, serta Iran sedia bekerjasama.

Beliau berkata, peperangan bukan sahaja mengorbankan nyawa dan memusnahkan ekonomi, malah turut menyebabkan kerosakan terhadap tanah, sumber air, udara dan ekosistem yang kesannya boleh berlarutan sehingga beberapa generasi.

Berucap pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye, pada Rabu, Pezeshkian menyifatkan alam sekitar sebagai mangsa senyap setiap konflik bersenjata.

Menurut penilaian yang dipetik beliau, serangan terhadap kemudahan bahan api di Asadabadi dianggarkan membebaskan kira-kira 500,000 tan karbon dioksida, manakala serangan terhadap tangki bahan api di sekitar Tehran menyumbang tambahan satu juta tan.

Mengulas situasi di Gaza, beliau turut menuduh Israel memusnahkan infrastruktur penting serta sumber semula jadi wilayah itu sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan dan alam sekitar.

Pezeshkian berkata, kemusnahan kemudahan asas, sumber air dan tanah serta pencemaran meluas telah menjejaskan ekosistem Gaza.

Beliau turut membangkitkan kematian orang awam dan serangan berterusan meskipun gencatan senjata dilaksanakan, selain memberi amaran penduduk Gaza berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas menjelang musim sejuk.

Sehubungan itu, beliau menggesa mekanisme antarabangsa diperkukuh bagi merekodkan kerosakan alam sekitar akibat operasi ketenteraan, selain memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan serta membayar pampasan.

Beliau turut menegaskan kesediaan Iran untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha melindungi alam sekitar.

COP31 yang berlangsung dari 9 hingga 20 November di Antalya menghimpunkan pemimpin dunia, pegawai kerajaan, pakar iklim dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan tindakan menangani perubahan iklim global.-Viory

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.