Iran buka semula ruang udara

FlightRadar24.com menunjukkan ruang udara Iran kosong susulan penutupan sementara akibat ketegangan AS–Iran/Foto REUTERS

ISTANBUL, 15 Januari – Iran membuka semula ruang udaranya kepada lalu lintas udara pada Khamis selepas tempoh penutupan sementara bagi kebanyakan penerbangan tamat, dengan data penjejakan menunjukkan pesawat kembali menuju ke Tehran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ruang udara Iran dibuka semula selepas tempoh penutupan sementara, dengan pesawat kembali menuju ke Tehran.
  • NOTAM yang mengehadkan penggunaan ruang udara tamat tempoh dan beberapa penerbangan mula memasuki ruang udara Iran.
  • Penutupan sementara sebelum ini dilaksanakan atas alasan protokol keselamatan ketika ketegangan serantau dan domestik meningkat.

FlightRadar24, perkhidmatan penjejakan penerbangan dalam talian, mengesahkan bahawa notis kepada penerbangan atau misi udara (NOTAM) yang mengehadkan penggunaan ruang udara Iran telah tamat tempoh, dan beberapa penerbangan dikesan memasuki ruang udara negara itu.

Iran sebelum ini menutup sementara ruang udaranya kepada semua penerbangan kecuali ketibaan dan pelepasan penerbangan awam antarabangsa yang dibenarkan, dengan alasan protokol keselamatan.

Notis awal menyatakan ruang udara Tehran akan kekal ditutup sehingga 15 Jan, dengan hanya penerbangan awam tertentu dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan awal daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Langkah itu diambil ketika ketegangan serantau dan domestik semakin meningkat, termasuk protes antikerajaan di Iran dan penelitian antarabangsa yang semakin memuncak.-BERNAMA-ANADOLU