Iran, AS siap sedia mulakan rundingan di Oman

FOTO AFP

MUSCAT, 6 Februari – Iran dan Amerika Syarikat (AS) dijangka memulakan rundingan di Oman hari ini ketika Washington menilai sama ada masih wujud ruang kemajuan diplomatik berhubung program nuklear Tehran, meskipun tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ketenteraan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan Iran-AS di Oman dimulakan untuk menilai peluang diplomasi berhubung program nuklear Tehran.
  • AS tidak menolak pilihan ketenteraan jika diplomasi gagal; ketegangan meningkat sebelum pertemuan.
  • Perbincangan utama fokus pada nuklear, turut melibatkan peluru berpandu dan sokongan Iran kepada kumpulan bersenjata.

Rundingan itu, yang disahkan kedua-dua pihak pada lewat Rabu menjadi pertemuan pertama antara dua musuh tradisi itu sejak AS menyertai serangan Israel ke atas Iran pada Jun lalu, termasuk ke atas beberapa tapak nuklear.

Utusan khas Presiden Donald Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff, dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dijangka mengetuai delegasi masing-masing di Oman, yang sejak sekian lama berperanan sebagai orang tengah antara kedua-dua negara.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA, melaporkan Araghchi telah tiba di Muscat pada lewat Khamis untuk menyertai rundingan.

Sementara itu, Kementerian Luar Iran menegaskan Tehran mempunyai tanggungjawab untuk tidak melepaskan sebarang peluang menggunakan diplomasi demi mengekalkan keamanan dan berharap Washington akan menyertai rundingan dengan bertanggungjawab, realistik dan bersungguh-sungguh.

Rundingan itu diadakan kurang sebulan selepas kemuncak gelombang bantahan besar-besaran di Iran bagi menentang kepimpinan ulama, yang menurut kumpulan hak asasi bahawa Kerajaan mengambil tindakan kekerasan sehingga mengorbankan ribuan nyawa.

Trump pada Khamis berkata Iran kini sedang berunding, sambil memberi amaran bahawa Washington tidak menolak menggunakan kekuatan ketenteraan jika diplomasi gagal.

“Mereka tidak mahu kami menyerang mereka,” kata Trump, merujuk kepada kehadiran kumpulan kapal pengangkut pesawat AS yang digelarnya sebagai sebuah “armada” di rantau berkenaan.

Sementara itu, Naib Presiden AS JD Vance berkata Trump akan mengekalkan semua pilihan, termasuk ketenteraan, sekiranya usaha diplomatik tidak membuahkan hasil.

Bagaimanapun, berlaku ketegangan menjelang rundingan itu berlangsung susulan percanggahan pendapat sama ada mesyuarat tersebut harus melibatkan negara-negara serantau, selain perbezaan pandangan mengenai skop perbincangan, khususnya berkaitan program peluru berpandu Iran dan sokongan Tehran terhadap kumpulan bersenjata serantau, yang menjadi kebimbangan utama AS.

New York Times yang memetik pegawai Iran sebagai berkata Amerika Syarikat bersetuju bahawa rundingan itu akan mengecualikan negara serantau lain.

Beliau berkata walaupun mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada isu nuklear, ia juga akan membincangkan mengenai peluru berpandu dan kumpulan bersenjata dengan matlamat untuk menghasilkan rangka kerja untuk perjanjian. -AFP