
CAPE TOWN, 17 Januari – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam satu kejadian tembakan di sebuah perkampungan di luar bandar Cape Town awal pagi Sabtu, dalam insiden yang dipercayai berkait dengan kegiatan pemerasan, menurut pihak polis.
Kejadian itu merupakan yang terbaharu dalam siri tembakan beramai-ramai yang terus menggoncang negara berpenduduk kira-kira 63 juta orang itu, yang sudah lama dibelenggu masalah jenayah.
Dalam satu kenyataan, polis memaklumkan bahawa kejadian tembakan di kawasan Marikana mengorbankan tujuh individu, terdiri daripada seorang wanita dan enam lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Tiga lagi mangsa cedera dalam serangan yang berlaku sejurus selepas tengah malam itu dan “dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemerasan di kawasan berkenaan”.
“Suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dan setakat ini tiada tangkapan dibuat,” menurut polis, sambil menambah operasi memburu suspek telah dilancarkan dan siasatan masih dijalankan.
Afrika Selatan, terus bergelut dengan masalah jenayah dan rasuah yang berakar umbi serta didorong oleh rangkaian jenayah terancang.
Data polis menunjukkan secara purata kira-kira 63 orang terbunuh setiap hari antara Julai dan September tahun lalu.
Pada Disember lalu, dua kejadian tembakan berasingan melibatkan serangan bersenjata di sebuah asrama dan sebuah bar mengorbankan hampir dua dozen orang, termasuk beberapa kanak-kanak.
Serangan pada Sabtu itu berlaku di kawasan Cape Flats, yang terkenal dengan keganasan kumpulan kongsi gelap, dan mencatatkan lebih 2,000 kes pembunuhan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025.-AFP