
CARACAS, 7 Mac – Kadar inflasi di Venezuela melonjak kepada 475 peratus pada 2025, tertinggi di dunia, susulan sekatan Amerika Syarikat (AS) sebelum penggulingan pemimpin negara itu, Nicolas Maduro.
- Bank pusat lapor inflasi tahun lalu jauh melebihi unjuran IMF iaitu 269.9 peratus.
- Inflasi terkumpul bagi dua bulan pertama 2026 hampir 52 peratus selepas lebih setahun tiada data rasmi.
- Harga makanan naik 532%, sewa 340%, penjagaan kesihatan 445%; pendapatan purata AS$100 hingga AS$300 sebulan tidak mencukupi.
Data yang dikeluarkan bank pusat Venezuela menunjukkan inflasi sepanjang tahun lalu jauh melebihi unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu 269.9 peratus.
Bank pusat turut memaklumkan kadar inflasi terkumpul bagi dua bulan pertama 2026 mencecah hampir 52 peratus, selepas lebih setahun tidak menerbitkan data rasmi mengenai inflasi.
Ekonomi negara Amerika Selatan itu terjejas teruk tahun lalu susulan kempen tekanan maksimum oleh Washington terhadap kerajaan pimpinan Maduro.
Bagaimanapun, ramai rakyat Venezuela berkata mereka masih belum merasai kesan pemulihan ekonomi apabila harga barangan asas seperti makanan dan ubat-ubatan terus meningkat.
Menurut bank pusat, harga makanan dan minuman meningkat 532 peratus tahun lalu, manakala sewa naik 340 peratus dan kos penjagaan kesihatan meningkat 445 peratus.
Secara purata, pendapatan rakyat Venezuela hanya antara AS$100 hingga AS$300 sebulan, jauh lebih rendah daripada kos sebenar untuk memenuhi keperluan asas. – AFP