Indonesia, India perkukuh kerjasama perdagangan dan pertahanan

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersalaman dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di Istana Presiden / REUTERS

JAKARTA, 7 Julai– Indonesia dan India bersetuju memperkukuh kerjasama perdagangan serta memperluas hubungan pertahanan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Jakarta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komitmen meningkatkan perdagangan melalui rundingan PTA Indonesia-India dan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India.
  • Meluaskan kerjasama pertahanan, pengurusan bencana dan industri, termasuk pengukuhan kerjasama pengawal pantai untuk keselamatan maritim di Lautan Hindi.
  • Menandatangani beberapa MoU bagi mengukuhkan rantaian bekalan mineral kritikal, keluli dan sektor pertanian; perjanjian BrahMos turut ditandatangani.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, kedua-dua negara komited meningkatkan perdagangan dua hala menerusi rundingan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA) Indonesia-India.

Jelas beliau, komitmen turut dinyatakan untuk penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India.

“Kedua-dua negara melihat kerjasama ekonomi sebagai antara tonggak utama hubungan dua hala.

Kami komited meningkatkan perdagangan melalui rundingan PTA Indonesia-India dan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India,” katanya.

Sementara itu, Modi berkata, kedua-dua negara turut bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang pertahanan, pengurusan bencana dan industri.

“Kerjasama pengawal pantai kedua-dua negara akan diperkukuh bagi meningkatkan keselamatan dan sekuriti maritim di Lautan Hindi,” katanya.

Selain itu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bagi mengukuhkan rantaian bekalan mineral kritikal, keluli dan sektor pertanian kedua-dua negara.

Istana Presiden Indonesia turut memaklumkan Indonesia dan India menandatangani perjanjian berkaitan sistem peluru berpandu kruis BrahMos.

Bagaimanapun, perkara itu tidak disentuh oleh kedua-dua pemimpin dalam kenyataan bersama mereka. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.