
NEW DELHI, 3 April – Golongan pekerja migran domestik di sini mula meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman masing-masing berikutan lonjakan harga dan kekurangan bekalan gas petroleum cecair (LPG).
- Krisis LPG dikaitkan dengan konflik Asia Barat, menyebabkan kos sara hidup meningkat dan bekalan terjejas.
- Kerajaan mengurangkan bekalan ke sektor industri untuk melindungi bekalan gas memasak isi rumah.
- Pengeluaran domestik dinaikkan 40 peratus kepada 50,000 tan metrik, sementara syarikat mendapat 800,000 tan kargo import.
Krisis yang dikaitkan dengan konflik di Asia Barat itu telah menyebabkan kos sara hidup harian semakin tidak mampu ditanggung oleh golongan berkenaan.
India, selaku pengimport LPG kedua terbesar di dunia, kini sedang bergelut dengan krisis gas terburuk dalam tempoh beberapa dekad.
Situasi itu memaksa kerajaan mengurangkan bekalan kepada sektor industri bagi melindungi bekalan gas memasak untuk kegunaan isi rumah.
Menurut golongan pekerja, kos gas memasak meningkat mendadak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selain kesukaran mendapatkan bekalan yang sekali gus menghimpit belanjawan isi rumah.
Bagi kebanyakan pekerja yang bergantung kepada upah harian, kenaikan harga tersebut memaksa sebahagian daripada mereka mempertimbangkan semula keputusan untuk kekal di bandar besar, memandangkan pendapatan sedia ada tidak lagi selari dengan peningkatan kos sara hidup.
Sebagai langkah menangani krisis berkenaan, India telah meningkatkan pengeluaran LPG domestik harian sebanyak 40 peratus kepada 50,000 tan metrik, berbanding keperluan sebenar sebanyak 80,000 tan.
Selain itu, syarikat-syarikat India turut berjaya mendapatkan 800,000 tan kargo LPG dari Amerika Syarikat, Rusia, Australia, dan beberapa negara lain. – REUTERS