Hujan lebat di Brazil ragut 23 nyawa, 47 hilang

Operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan bantuan unit anjing pengesan dan penduduk setempat/Foto AFP

BRAZIL, 25 Februari – Sekurang-kurangnya 23 orang maut manakala 47 lagi dilaporkan hilang akibat banjir dan tanah runtuh, susulan hujan lebat berterusan di tenggara Brazil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Minas Gerais paling teruk dilanda dengan sungai melimpah, menyebabkan banjir besar, runtuhan tanah dan rosak struktur bangunan.
  • Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan dengan unit anjing pengesan dan bantuan penduduk tempatan.
  • Kerajaan isytihar darurat, gerakkan bantuan pertahanan awam dan pindahkan penduduk ke pusat perlindungan sementara.

Menurut pihak berkuasa pada Selasa, negeri Minas Gerais paling terjejas apabila sungai melimpah hingga menyebabkan banjir besar, runtuhan tanah serta kerosakan struktur bangunan.

Di bandar Juiz de Fora merekodkan 16 kematian dan 43 individu hilang, manakala bandar Uba mencatat tujuh kematian serta empat lagi hilang.

Operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan bantuan unit anjing pengesan, selain penduduk setempat yang turut membantu mencari mangsa di celah runtuhan dan lumpur.

Datuk Bandar Juiz de Fora, Margarida Salomao mengisytiharkan darurat susulan keadaan yang disifatkan sebagai ekstrem, selepas bandar itu merekodkan jumlah hujan tertinggi bagi bulan Februari dalam sejarah, mencecah 584 milimeter.

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva memaklumkan kerajaan persekutuan mengiktiraf perisytiharan darurat berkenaan dan menggerakkan bantuan pertahanan awam bagi memastikan bantuan kemanusiaan serta pemulihan perkhidmatan asas dapat disalurkan segera.

Sekurang-kurangnya 440 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara, manakala sesi persekolahan di semua sekolah perbandaran digantung.

Brazil sebelum ini turut berdepan beberapa bencana cuaca ekstrem termasuk banjir besar pada 2024 yang menjejaskan lebih dua juta penduduk di selatan negara itu.-AFP