
BEIRUT, 7 Mac – Pertempuran dilaporkan tercetus di kawasan sempadan Lubnan-Syria selepas tentera Israel cuba melaksanakan operasi pendaratan, menurut media rasmi Lubnan pada Sabtu.
- NNA melaporkan sekurang-kurangnya sembilan terbunuh hasil 13 serangan udara Israel di Nabi Sheet.
- Hizbullah mendakwa menggagalkan cubaan pendaratan selepas mengesan empat helikopter tentera Israel dari arah Syria.
- Pejuang Hizbullah menyerang pasukan Israel di tanah perkuburan Nabi Sheet dengan senjata ringan dan sederhana.
- Nabi Sheet di Baalbek dikenal sebagai kawasan pengaruh kuat Hizbullah, menjadi fokus pertempuran dan serangan berulang.
Agensi berita negara itu, National News Agency (NNA) memetik Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala 16 lagi cedera dalam serangan Israel di kawasan Nabi Sheet.
Israel sebelum ini melancarkan beberapa serangan udara serta menghantar tentera darat ke Lubnan selepas kumpulan bersenjata Hizbullah yang disokong Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel pada Isnin lalu.
Serangan itu dilaporkan sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Iran, Ali Khamenei.
NNA melaporkan pertempuran berlaku di kawasan pergunungan di sepanjang sempadan Lubnan-Syria ketika Hizbullah cuba menggagalkan cubaan pendaratan tentera Israel.
Kawasan Nabi Sheet yang terletak di daerah Baalbek di timur Lubnan merupakan kawasan yang mempunyai pengaruh kuat Hizbullah.
Dalam kenyataan berasingan, Hizbullah mendakwa pejuangnya mengesan kemasukan empat helikopter tentera Israel dari arah Syria sebelum pasukan itu mendarat.
Menurut kumpulan itu, pasukan Israel yang mara ke kawasan tanah perkuburan Nabi Sheet kemudian diserang oleh Hizbullah menggunakan senjata ringan dan sederhana.
Hizbollah turut mendakwa tentera Israel melancarkan serangan udara intensif sebelum berundur dari kawasan tersebut.
Menurut NNA, sekurang-kurangnya 13 serangan udara Israel dilancarkan di Nabi Sheet pada Jumaat, dengan Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh. – AFP