
WASHINGTON, 17 Mac — Pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, yang dilantik menggantikan bapanya selepas kematian Ali Khamenei dalam serangan perang, kini menjadi tanda tanya apabila keberadaannya masih tidak jelas.
- Trump berkata Washington tidak pasti sama ada Mojtaba masih hidup atau sudah mati.
- Terdapat laporan tidak rasmi mengenai kecederaan teruk, kehilangan anggota dan dakwaan kematian, serta tiada siapa mengatakan dia benar-benar sihat.
- Ketiadaan kemunculan awam menimbulkan persoalan siapa memimpin Iran dan menyukarkan Amerika menentukan pihak berunding di Tehran.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata Washington sendiri tidak pasti sama ada pemimpin baharu Iran itu masih hidup atau sebaliknya.
Bercakap kepada media di White House, Trump berkata terdapat pelbagai laporan tidak rasmi mengenai keadaan Mojtaba.
“Kami tidak tahu… sama ada dia sudah mati atau tidak,” kata Trump kepada wartawan di White House pada Isnin.
Menurutnya, terdapat pelbagai laporan tidak rasmi mengenai keadaan Mojtaba, termasuk dakwaan bahawa beliau cedera parah.
“Ada yang mengatakan dia mengalami kecacatan teruk, ada yang kata dia kehilangan sebelah kaki dan cedera serius. Ada juga yang kata dia sudah mati. Tiada siapa mengatakan dia benar-benar sihat. Dia juga tidak pernah bercakap,” katanya.
Trump turut menegaskan sehingga kini Mojtaba tidak membuat sebarang kemunculan atau kenyataan awam, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai siapa yang sebenarnya memimpin Iran ketika ini.
Beliau berkata ketidakpastian itu menyukarkan Amerika Syarikat untuk menentukan dengan siapa rundingan boleh dilakukan di Tehran. – AFP