Hezbollah balas serangan Israel

Pasukan penyelamat Lubnan melakukan operasi menyelamat di tapak serangan udara Israel/ AFP

BEIRUT, 4 Mac – Kumpulan Hezbollah di Lubnan melancarkan serangan balas ke atas tiga pangkalan tentera Israel selepas serangan udara rejim Zionis memusnahkan kubu kuat kumpulan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hezbollah membalas serangan dengan menyerang tiga pangkalan tentera Israel, termasuk penggunaan dron dan roket.
  • Israel melancarkan serangan udara berterusan ke kawasan selatan Beirut dan selatan Lubnan, memaksa pemindahan penduduk.
  • Hezbollah mengutuk serangan terhadap media mereka, menyifatkannya usaha menyekat suara dan imej perjuangan Lubnan.

Tindakan tersebut dilihat sebagai respons langsung terhadap pencerobohan ruang udara dan serangan ke pusat operasi Hezbollah di Lubnan.

Sebelum ini Israel terus melancarkan serangan udara berturut-turut, khususnya di pinggir selatan Beirut dan selatan Lubnan.

Pihak berkuasa Lubnan pada Isnin merekodkan pemindahan kira-kira 29,000 penduduk dari kawasan terjejas.

Pada pagi Selasa, Israel turut mengumumkan bahawa pusingan baru dimulakan dengan “serangan serentak di Tehran dan Beirut”.

Tentera Israel turut mengerahkan pasukan ke beberapa lokasi di selatan Lubnan sebagai langkah “pertahanan hadapan” sepanjang sempadan.

Lubnan menuntut keadilan susulan kematian pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei semasa serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas negara itu.

Dalam kenyataan berasingan, Hezbollah menyatakan mereka menggunakan dron serangan bagi mensasarkan pangkalan udara Ramat David dan pangkalan pemantauan Meron di utara Israel.

Selain itu, Hezbollah mensasarkan pangkalan Naffakh, dikenali sebagai Kem Yitzhak, di Golan Heights yang diduduki Israel dengan serangan roket.

“Kami melakukan serangan ini sebagai tindak balas terhadap keganasan jenayah Israel ke atas berpuluh bandar dan pekan di Lubnan,” kata Hezbollah.

Sejak awal pagi, pinggir selatan Beirut menjadi sasaran siri serangan udara ke atas beberapa bangunan selepas amaran evakuasi dikeluarkan.

Penyiar TV Hezbollah, Al-Manar TV turut melaporkan bahawa ibu pejabatnya di Beirut menjadi sasaran pada waktu malam, manakala pada Selasa pagi Israel turut mensasarkan pejabat penyiar radio Hezbollah, Al-Nour Radio.

Dalam kenyataan sama, Hezbollah mengutuk serangan ke atas “dua media awam” yang disifatkan sebagai usaha untuk menyekat “suara dan imej perjuangan rakyat Lubnan.”- AFP