Harga minyak dunia stabil, pelabur pantau pembukaan Selat Hormuz

FOTO REUTERS

LONDON, 16 Mac – Harga minyak dunia sedikit reda pada Isnin ketika pelabur menimbang harapan pembukaan semula laluan penting Selat Hormuz dengan kebimbangan terhadap serangan lanjut ke atas infrastruktur tenaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal tangki bukan Iran berjaya melalui Selat Hormuz dengan transponder aktif, namun laluan masih terganggu akibat konflik.
  • Donald Trump mendesak kuasa dunia bantu buka semula laluan perkapalan; UK bekerjasama dengan sekutu merangka pelan berdaya maju.
  • Harga Brent naik sedikit, WTI susut lebih satu peratus; pasaran Eropah naik tetapi sentimen kekal rapuh.
  • Serangan ke atas infrastruktur UAE dan Pulau Kharg, serta penangkapan lebih 60 dron, meningkatkan risiko gangguan bekalan tenaga.

Ketika konflik Asia Barat memasuki minggu ketiga, kebanyakan pasaran saham Eropah meningkat manakala pasaran Asia menunjukkan prestasi bercampur.

Penanda aras antarabangsa Brent North Sea crude meningkat hanya 0.1 peratus selepas melonjak kira-kira tiga peratus lebih awal, manakala kontrak utama Amerika Syarikat West Texas Intermediate susut lebih satu peratus.

Pergerakan harga itu berlaku selepas sebuah kapal tangki minyak bukan dari Iran berjaya melalui Selat Hormuz dengan sistem transponder automatik diaktifkan, meskipun laluan strategik itu masih terganggu akibat konflik, menurut pemantau perkapalan Marine Traffic.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada hujung minggu lalu meningkatkan tekanan terhadap kuasa dunia supaya membantu membuka semula laluan perkapalan penting tersebut yang terjejas akibat serangan Iran.

Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer pula berkata London sedang bekerjasama dengan sekutu bagi merangka pelan “berdaya maju” untuk membuka semula Selat Hormuz, yang diisytiharkan Iran sebagai ditutup kepada kapal berkaitan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Sementara itu, Jerman menegaskan konflik Asia Barat yang tercetus susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran “tidak ada kaitan” dengan NATO.

Pengarah pelaburan AJ Bell, Russ Mould berkata walaupun situasi masih belum hampir diselesaikan, pelabur dilihat lebih tenang berikutan beberapa tanda yang menunjukkan tindakan sedang diambil.

Pasaran saham di London, Paris dan Frankfurt mencatat kenaikan pada Isnin, namun penganalisis memberi amaran sentimen pasaran kekal rapuh.

Di Asia, bursa Tokyo dan Shanghai ditutup rendah, manakala Hong Kong meningkat.

Semasa dagangan Asia, harga minyak mentah sebelum itu melonjak melepasi AS$100 setong selepas serangan terhadap infrastruktur minyak di pantai timur Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta serangan ke atas Pulau Kharg di Iran.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata negaranya tidak berminat mengadakan rundingan dengan Washington, namun bersedia berbincang dengan negara lain mengenai laluan selamat melalui Selat Hormuz.

Kedua-dua pihak terus berbalas serangan pada Isnin, dengan Arab Saudi memaklumkan lebih 60 dron dipintas sejak tengah malam, manakala penerbangan di Lapangan Terbang Dubai digantung sementara selepas insiden berkaitan dron mencetuskan kebakaran berhampiran kawasan tersebut.

Perhatian pedagang minggu ini turut tertumpu kepada mesyuarat dasar bank pusat utama termasuk Federal Reserve, Bank of England, Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan.

Walaupun kadar faedah dijangka kekal, sebarang kenyataan mengenai kesan perang dan kenaikan harga tenaga terhadap ekonomi masing-masing akan dipantau rapat oleh pelabur.

Pada masa sama, Jepun memaklumkan ia mula melepaskan rizab minyak strategiknya selepas ahli International Energy Agency bersetuju minggu lalu menggunakan stok minyak bagi meredakan lonjakan harga akibat konflik.

Penganalisis Pepperstone, Michael Brown berkata kesan peristiwa geopolitik terhadap pasaran lebih bergantung kepada bila pergerakan kapal melalui Selat Hormuz kembali normal berbanding tempoh konflik itu sendiri. – AFP