
ISLAMABAD, 3 April – Kerajaan Pakistan meningkatkan harga diesel dan petrol buat kali kedua dalam tempoh kurang sebulan susulan lonjakan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat.
- Harga diesel naik 54.9% kepada 520.35 rupee seliter; petrol naik 42.7% kepada 458.40 rupee seliter.
- Kerajaan menyalurkan subsidi 129 bilion rupee dalam tiga minggu tetapi tidak mampu diteruskan.
- Kenaikan menambah tekanan kos sara hidup, golongan berpendapatan rendah paling terkesan.
- Pakistan mengimport sebahagian besar minyak dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu melalui Selat Hormuz.
Menteri Petroleum, Ali Pervaiz Malik berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan harga pasaran antarabangsa yang tidak terkawal susulan konflik berkenaan.
“Harga diesel meningkat sebanyak 54.9 peratus kepada Rs520.35 seliter, manakala petrol naik 42.7 peratus kepada Rs458.40 seliter. Usaha telah dilakukan untuk memastikan impak kenaikan harga diesel dapat diminimumkan terutama dalam sektor pertanian dan pengangkutan awam,” katanya pada sidang media khas bersama Menteri Kewangan.
Beliau turut memaklumkan, sebelum ini kerajaan telah menyalurkan subsidi berjumlah 129 bilion rupee dalam tempoh tiga minggu, namun langkah itu tidak lagi mampu diteruskan berikutan peningkatan harga minyak global.
Kenaikan tersebut mengakibatkan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dengan golongan berpendapatan rendah paling terkesan.
Bulan lalu, Pakistan menaikkan harga bahan api sekitar 20% dengan alasan kenaikan harga minyak susulan konflik membabitkan Iran dengan Amerika Syarikat dan sekutu kuatnya Israel.
Pakistan mengimport sebahagian besar minyaknya dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui Selat Hormuz. – REUTERS