Guatemala isytihar darurat susulan rusuhan penjara, serangan kumpulan jenayah

Pasukan polis antirusuhan berkumpul di hadapan sebuah penjara / REUTERS

GUATEMALA CITY, 19 Januari -Kerajaan Guatemala mengisytiharkan darurat selama 30 hari di seluruh negara susulan rusuhan penjara dan serangan ganas kumpulan jenayah terancang terhadap pasukan keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan isytihar darurat 30 hari untuk memulihkan keselamatan selepas keganasan berkaitan kumpulan jenayah.
  • Pasukan keselamatan diberi kuasa meluas termasuk penggunaan tentera untuk menumpaskan serangan dan kawal penjara.
  • Serangan ganas menyebabkan kematian anggota polis; kerajaan mengisytiharkan tiga hari berkabung.

Presiden Guatemala, Bernardo Arévalo berkata, keputusan itu dibuat bagi memulihkan keselamatan awam selepas beberapa anggota polis terbunuh dalam serangan balas kumpulan tersebut.

Menurut beliau, serangan dilakukan sebagai tindak balas terhadap operasi keselamatan yang berjaya mengembalikan kawalan kerajaan ke atas beberapa penjara.

“Sebagai reaksi terhadap kejayaan operasi menguasai semula penjara, kumpulan jenayah ini bertindak menyerang Polis Kebangsaan di beberapa lokasi.

Tujuan mereka adalah untuk menakut-nakutkan pasukan keselamatan dan rakyat agar kita berundur, tetapi mereka tidak akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan rasmi yang disiarkan televisyen kerajaan.

Presiden Arévalo seterusnya mengumumkan pengisytiharan darurat selama 30 hari berkuat kuasa serta-merta.

Langkah itu bagi membolehkan kerajaan menggunakan sepenuhnya kuasa pasukan keselamatan, termasuk Polis Awam Kebangsaan dan tentera.

Terdahulu, rusuhan berlaku di tiga penjara lelaki pada Sabtu apabila banduan menawan 46 pegawai penjara sebagai tebusan.

Kerajaan menuding jari terhadap geng Barrio 18 yang didakwa menuntut keistimewaan lebih besar dalam penjara.

Pasukan keselamatan akhirnya berjaya membebaskan semua tebusan, termasuk lapan pegawai penjara yang kemudiannya diperiksa oleh pasukan perubatan kecemasan.

Bagaimanapun, keganasan susulan menyaksikan sekurang-kurangnya tujuh anggota polis terbunuh dan 10 lagi cedera dalam serangan di beberapa kawasan negara itu.

Sebagai menghormati mangsa, kerajaan mengisytiharkan tiga hari berkabung.

Bawah undang-undang Guatemala, darurat membolehkan kerajaan mengehadkan sementara beberapa kebebasan awam.

Selain, memperluas kuasa penguatkuasaan demi menangani ancaman keselamatan. -REUTERS