Gencatan senjata AS-Iran meliputi semua kawasan, termasuk Lubnan

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif/ Foto REUTERS

ISLAMABAD, 8 April – Amerika Syarikat, Iran dan sekutu mereka bersetuju melaksanakan gencatan senjata di semua kawasan, termasuk Lubnan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Delegasi dari Amerika Syarikat dan Iran dijangka mengadakan rundingan di Islamabad pada 10 April untuk mencapai perjanjian muktamad.
  • Tehran dan Washington bersetuju gencatan senjata selama dua minggu; Israel turut dilaporkan bersetuju tetapi rejim Zionis belum memberi reaksi segera.
  • Konflik tercetus selepas serangan Israel dan Amerika menewaskan pemimpin tertinggi Iran pada 28 Februari, diikuti serangan balas Tehran dan penglibatan Hizbullah.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, susulan usaha Islamabad selaku pengantara dalam menghentikan konflik yang berlarutan selama beberapa minggu.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Republik Islam Iran dan Amerika Syarikat bersama sekutu mereka telah bersetuju menguatkuasakan gencatan senjata di semua kawasan termasuk Lubnan dan tempat lain, berkuat kuasa serta-merta,” kata Sharif di platform X.

Beliau juga berkata, Islamabad mengalu-alukan delegasi dari kedua-dua negara pada Jumaat (10 April) untuk mengadakan rundingan yang bertujuan mencapai perjanjian muktamad.

“Kami amat berharap ‘Perbincangan Islamabad’ akan berjaya mencapai keamanan yang berkekalan, serta berharap dapat berkongsi lebih banyak berita baik dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Kedua-dua Tehran dan Washington mengumumkan persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu, kira-kira sejam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Presiden Donald Trump untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran.

Laporan dari Washington menyebut, Israel turut bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata Amerika-Iran.

Bagaimanapun, rejim Zionis tidak memberikan reaksi segera terhadap pengumuman gencatan senjata itu.

Perang tersebut bermula apabila Israel dan Amerika melancarkan serangan ke atas Iran sehingga mengorbankan pemimpin tertingginya pada 28 Februari, sekali gus mencetuskan serangan balas oleh Tehran terhadap negara-negara Teluk dan Israel.

Lubnan turut terheret dalam konflik selepas kumpulan yang disokong Iran, Hizbullah melancarkan serangan ke atas Israel, yang kemudiannya melakukan serangan balas. -AFP