Gempa kuat: Satu kematian di Sulawesi Utara, Indonesia

Mayat di bawah runtuhan selepas sebuah bangunan milik Majlis Sukan Kebangsaan Indonesia (KONI) di Manado, Sulawesi Utara, rosak akibat gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 pagi tadi/AFP

MANADO, 2 April- Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas gempa bumi kuat di luar pesisir Indonesia menyebabkan sebuah bangunan runtuh di wilayah Sulawesi Utara pada Khamis, menurut seorang pegawai penyelamat dan mencari (SAR).

RINGKASAN BERITA AI
  • USGS melaporkan gempa bermagnitud 7.4 melanda timur Indonesia sekitar pukul 6.48 pagi.
  • Gempa berlaku pada kedalaman 35 kilometer di Laut Maluku, antara kepulauan Sulawesi dan Maluku.
  • BMKG merekodkan gelombang setinggi 30 cm di sekitar Ternate dan 20 cm dicatatkan di Bitung selepas gempa.
  • Penduduk melaporkan gempa terasa kuat, dinding bergegar, penduduk panik keluar rumah; gegaran berterusan lebih satu minit.

“Gempa bumi itu terasa dengan kuat di sekitar Manado… seorang meninggal dunia dan seorang lagi cedera di kaki,” lapor Pegawai SAR, George Leo Mercy Randang.

Mangsa maut dilaporkan “terkubur di bawah runtuhan” bangunan berkenaan, katanya.

Terdahulu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 melanda timur Indonesia sekitar pukul 6.48 pagi tadi.

Gempa berlaku pada kedalaman 35 kilometer di Laut Maluku, antara kepulauan Sulawesi dan Maluku, kata USGS.

Dalam pada itu, Agensi Geofizik Indonesia (BMKG) merekodkan gelombang setinggi 30 sentimeter di wilayah Maluku Utara berhampiran Pulau Ternate dalam tempoh 30 minit selepas gempa, manakala gelombang setinggi 20 sentimeter dicatatkan di Bitung, Sulawesi Timur Laut.

Seorang penduduk Ternate, Budi Nurgianto, 42, berkata gempa berkenaan mencetuskan panik kepada mereka.

“Gempa bumi itu kuat. Saya dengar dinding rumah bergegar. Ramai orang panik keluar rumah — gempa berterusan lebih satu minit,” katanya. -AFP