Gempa bumi di Selatan Filipina: 6 maut, ratusan cedera

DAVAO CITY,11 Oktober -Satu gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud menggegarkan kawasan pesisir Davao Oriental di selatan Filipina pada pagi Jumaat,

RINGKASAN BERITA AI
  • Satu gempa kuat 7.4 magnitud menggoncang pantai Davao Oriental, selatan Filipina, menyebabkan kerosakan meluas.
  • Enam orang disahkan maut, dengan tiga di Bandar Mati, satu di Bandar Davao, dua di Pantukan.
  • Seramai 347 orang menerima rawatan akibat pengsan dan kecederaan ringan.
  • Hospital dan sekolah mengalami kerosakan; panik melanda orang ramai yang bergegas keluar bangunan.
  • Serpihan bangunan melibatkan pelajar di sebuah sekolah di Bandar Davao; operasi kecemasan dan penyelamatan dijalankan.

Kejadian itu mengakibatkan sekurang-kurangnya enam orang terkorban dan mencetuskan panik serta menyebabkan kerosakan besar di beberapa wilayah.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China, gempa itu berlaku pada pukul 9.43 pagi waktu tempatan pada kedalaman 50 kilometer di dasar laut.

Pengarah Wilayah Pejabat Pertahanan Awam Filipina, Ednar Dayanghirang mengesahkan tiga kematian di Bandar Mati, satu di Bandar Davao, dan dua lagi di kawasan perlombongan Pantukan, Davao de Oro.

Pejabat Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Davao City turut mengesahkan kematian tersebut dan memaklumkan bahawa seramai 347 individu menerima rawatan akibat pengsan dan kecederaan ringan.

Beberapa hospital dan sekolah di seluruh rantau turut mengalami kerosakan. Keadaan panik tercetus apabila orang ramai bergegas keluar dari bangunan bagi mengelak daripada terkena serpihan yang jatuh.

Di sebuah sekolah di Bandar Davao, serpihan bangunan dilaporkan menghempap beberapa pelajar, memaksa kakitangan dan pasukan penyelamat bertindak segera. – REUTERS