
MANILA, 18 Mac – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos menarik semula pengumumannya untuk menaikkan tambang bagi kenderaan awam yang diumumkan sebelum ini dan menjanjikan pengangkutan percuma kepada rakyat negara itu.
- Marcos berkata kini bukan masa untuk menaikkan tambang kepada rakyat.
- Kerajaan mengambil langkah menangani kenaikan harga minyak: empat hari kerja untuk penjawat awam, bantuan tunai pemandu beca, rundingan pembelian bahan api dengan Rusia.
- Kesatuan pemandu jeepney kecewa, menuduh presiden kejam menarik balik bantuan yang diberi.
“Pada pendapat saya, sekarang mungkin bukan masanya untuk menaikkan tambang untuk rakyat,” kata Marcos pada Rabu selepas menolak kenaikan itu.
Menurut beliau, kerajaan kini telah berusaha keras untuk menangani kenaikan mendadak harga minyak susulan ketegangan di Asia Barat.
Filipina telah menetapkan empat hari seminggu untuk penjawat awam, mengagihkan wang tunai kepada pemandu beca roda tiga, dan mengadakan rundingan dengan Rusia bagi membeli bahan bakar berkenaan.
Marcos juga telah mengarahkan jabatan pengangkutan negara itu untuk melancarkan pengangkutan percuma di seluruh Filipina termasuk pemberian diskaun untuk sistem rel ringan dan jalan tol.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Pemandu Jeepney tempatan, Mody Floranda memberitahu kumpulannya tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
“Kami kecewa kerana presiden negara kami dengan kejam telah menarik balik apa yang telah diberikan oleh kerajaannya kepada kami,” katanya. -AFP