
BRUSSELS, 8 Januari – Kesatuan Eropah (EU) akan terus bekerjasama dengan negara-negara lain bagi menangani perubahan iklim global meskipun Amerika Syarikat mengumumkan pengundurannya daripada satu perjanjian iklim utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata ketua iklim EU pada Khamis.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada puluhan organisasi dan perjanjian antarabangsa, termasuk Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
Perjanjian yang diterima pakai pada 1992 itu merupakan kerangka global yang menyatukan negara-negara bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau penyebab pemanasan global serta menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.
Pesuruhjaya Iklim EU, Wopke Hoekstra, berkata UNFCCC menjadi asas kepada tindakan iklim global dan melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Amerika Syarikat untuk menarik diri daripada perjanjian teras berkenaan.
“Keputusan oleh ekonomi terbesar dunia dan pengeluar pelepasan kedua terbesar untuk berundur daripadanya adalah sesuatu yang dikesali dan mengecewakan,” katanya dalam satu hantaran di LinkedIn.
Menurut Hoekstra, EU akan terus menyokong penyelidikan iklim antarabangsa sebagai asas kepada kefahaman dan usaha menangani perubahan iklim, selain meneruskan kerjasama iklim di peringkat global.
Pentadbiran Trump diketahui memberi keutamaan kepada industri bahan api fosil serta secara terbuka menolak konsensus saintifik bahawa aktiviti manusia menyumbang kepada pemanasan global, malah pernah menyifatkan sains iklim sebagai “penipuan”.
Amerika Syarikat juga tidak menghantar sebarang wakil ke Sidang Kemuncak Iklim PBB terbaharu yang berlangsung di Brazil pada November lalu, yang diadakan setiap tahun di bawah naungan UNFCCC.
Naib Presiden EU bagi peralihan hijau, Teresa Ribera, turut mengkritik pendirian pentadbiran Trump dengan menyatakan bahawa isu alam sekitar, kesihatan dan penderitaan manusia bukan keutamaan kerajaan Amerika Syarikat ketika ini.
“Keamanan, keadilan, kerjasama atau kemakmuran bukan antara keutamaannya,” katanya menerusi platform media sosial Bluesky.
Trump sebelum ini turut menarik Amerika Syarikat keluar daripada Perjanjian Paris selepas kembali memegang jawatan presiden, sama seperti yang dilakukannya pada penggal pertamanya dari 2017 hingga 2021, sebelum keputusan itu dibatalkan oleh penggantinya, bekas Presiden Joe Biden.
Penganalisis berpandangan bahawa pengunduran daripada perjanjian asas UNFCCC berpotensi menimbulkan ketidakpastian undang-undang terhadap sebarang usaha Amerika Syarikat pada masa depan untuk menyertai semula perjanjian iklim antarabangsa.- AFP